Nama Dato' Razali Diabadikan




Oleh Nor Aziah Jaafar (Ihsan UTUSAN)

KUALA TERENGGANU 16 Jan. - Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) Kampus Terengganu dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar secara rasmi diisytiharkan menjadi IPGM Kampus Datuk Razali Ismail dan SMK Datuk Razali Ismail hari ini.


Pengisytiharan tersebut dibuat oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam satu majlis di IPGM Kampus Datuk Razali Ismail di sini.


Ia berikutan keputusan Kementerian Pelajaran meluluskan permohonan kedua-dua institusi itu yang mahu mengabadikan nama Timbalan Menteri Pelajaran yang meninggal dunia pada 28 November lalu sebagai mengenang jasanya meningkatkan kualiti pendidikan di negara ini.


Suasana hiba menyelubungi majlis itu ketika video pengkisahan dan belasungkawa Allahyarham ditayangkan kira-kira setengah jam menyebabkan hadirin termasuk Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menitiskan air mata.


Anggota keluarga Allahyarham yang hadir termasuk balunya, Toh Puan Nor Aini Lob Yusof dan anak sulungnya, Norazli turut dilihat menitiskan air mata kesedihan ketika tayangan video berkenaan.


Najib dalam ucapannya selepas itu berkata, pengabadian nama Razali di kedua-dua institusi itu tepat pada masanya dan ia merupakan cara terbaik untuk mengenang jasa Allahyarham.


Beliau berharap kedua-dua institusi berkenaan meningkatkan pencapaian dalam bidang masing-masing sesuai dengan imej dan legasi yang ditinggalkan Razali yang merupakan Ahli Parlimen Kuala Terengganu semasa hayatnya.


''Segala himpunan idea dan gagasan Allahyarham boleh dikaji tetapi lebih baik ia dapat diterjemahkan dalam bentuk tindakan dan pelaksanaan di mana yang difikirkan patut dilakukan.


''Saya harap perkara ini dapat dilakukan dalam bidang pendidikan supaya impian beliau untuk meningkatkan pendidikan di Terengganu diberi keutamaan," ujarnya yang menyifatkan Razali sebagai ikon dalam bidang pendidikan.


Katanya, di peringkat kerajaan bidang pendidikan akan tetap diberi keutamaan dan beliau akan memastikan 15 peratus daripada peruntukan kerajaan setiap tahun untuk bidang tersebut akan dipertahankan.


Sementara itu Hishammuddin berkata, warga pendidik perlu meneruskan tugas yang ditinggalkan Razali dalam meningkatkan mutu pendidikan negara.


''Realitinya sukar untuk mencari ganti pemimpin seperti Razali, namun perjuangan mesti diteruskan," ujarnya.


Dipetik daripada Laman Wen IPGM Kampus Dato' Razali Ismail - http://www.ipkt.edu.my/





Previous
Next Post »