8 April 2009... Sebulan Telah Berlalu


Tanggal 8 April 2009, genaplah sudah sebulan ana bergelar sebagai ahli Exco Jawatankuasa Perwakilan Pelajar (JPP) IPGM Kampus Dato' Razali Ismail. Ana yang ditaklifkan sebagai Setiausaha Agung Kehormat I redha dengan ketentuan-Nya. Di sini ana suka untuk berkongsi pengalaman dan persoalan untuk kita sama-sama fikirkan.


Bermula pada 26 Februari 2009 yang lalu, ana telah dicalonkan oleh salah seorang daripada anak buah ana daripada unit Pend. Islam tanpa pengetahuan ana. Seperti ada pertalian hati antara kami, ana sendiri juga berniat untuk mengambil bahagian pada pilihan raya tahun ini. Niat di hati ini hanya satu, menyebarluaskan syiar Islam di IPGM ini. Harapan dan cita-cita yang besar yang perlu dipikul. Bermulalah usaha kempen mengempen calon-calon pilihan raya kampus.



Sehinggalah pada satu tahap, pada malam bicara suara pemimpin (3 Mac 2009), perasaan putus asa datang secara mengejut dan tiba-tiba. Satu persoalan yang muncul pada hati nurani ini, "Benarkah wasilah yang ana pilih ini?". Termanggu sebentar memikirkan tindakan diri, mengenang kembali sirah Junjungan Mulia, Nabi Muhammad s.a.w. "Pernahkah nabi memikirkan untuk memimpin sebuah negara Islam Madinah?", monolog diri ana terus menerjah pemikiran ke arah titik buntu. Ditambah pula pada malam tersebut, ana terasa diuji oleh-Nya, pada ketika ana menyampaikan pengucapan awam tiada sambutan yang diberikan oleh para penonton - seperti hambarnya ucapan dan harapan yang ana sampaikan.... Semangat diri ana yang berkobar-kobar sebelum ini terus jatuh mendadak. Seusai giliran ana menyampaikan harapan ana yang tidak seberapa, ana terus melangkah keluar mencari ketenangan. Solat sunat hajat dan bacaan al-Quran sebagai wadah santapan hati nurani yang lemah dan tidak waja lagi.

Keesokan harinya ana membuat keputusan untuk memberhentikan segala usaha berkempen. Ana mendapat satu ketenangan, yang rasanya tidak dapat lagi sebelum ini. Ana cuba lari daripada kesibukan dunia yang sebenarnya ana cari sebelum ini. Ana singkap kembali sirah baginda Muhammad s.a.w. Bagaimana baginda memulakan dakwah di Makkah dengan mengukuhkan iman dan aqidah pada sahabat terlebih dahulu. Ini terbukti apabila semua ayat Makiyyah adalah berkaitan isu akidah dan pegangan hidup. Bagaimana baginda membentuk manusia yang berakhlak mulia, sanggup berkorban demi Islam tercinta dan taat kepada perintah Allah dan Rasul. Hal ini terlihat jelas pada para sahabat Khulafa' ar-Rasyidin yang memiliki ciri-ciri itu. Tampak, bahawa sesuatu yang dimulakan dari bawah menjadi suatu budaya dan amalan yang bersifat kekal berbanding dengan kuasa pemerintah yang melaksanakan dasar pada zaman pemerintahannya. Mungkin terlaksana, tetapi bersifat sementara, bertukar tampuk pemerintahan maka bertukarlah pula dasarnya. Baginda nabi telah menunjukkan contoh ikutan terbaik. Baginda bermula daripada peringkat bawah. Itu sebenarnya yang menjadi persoalan yang tidak terjawab dek akal yang tersangatlah kurang ilmu ini.

Sehinggalah pada hari Pilihan Raya Kampus (PRK), ana tidak ambil endah lansung tentang apa-apa perkara yang berkaitan PRK. Ana redha dengan pilihan-Nya, andai ana kalah ana akan teruskan juga perjuangan sebagai jundullah dan da'i ilallah. Apatah lagi kalau ana menang dalam PRK. Pada 5 Mac 2009, pukul 3.00 petang keputusan rasmi PRK diumumkan oleh Jawatankuasa Pilihan Raya Kampus (JPRK). Ana tersenarai dalam kedudukan 25 orang calon undian tertinggi yang bakal memegang kerusi Jawatankuasa Perwakilan Pelajar (JPP). Perasaan? Bercampur baur, sukar untuk digambarkan.

Sehinggalah pada 8 Mac 2009, telah diadakan majlis penyerahan surat perlantikan JPP dalam majlis perhimpunan pagi. Bermulalah tugas baru sebagai seorang ahli exco JPP di IPGM KDRI. Terkenang kembali sirah nabi..... yang gagal ana ikuti turutannya.


Cetusan rasa hati guru pelatih muda,
Mohd Ridzuan Bin Mohd Taib
IPGM Kampus Dato' Razali Ismail, Kuala Terengganu, Terengganu






Previous
Next Post »

2 Comment(s)

Click here for Comment(s)