Selamat Hari Guru :: Guru Pembina Negara Bangsa



Selamat Hari Guru


Tanggal 16 Mei setiap tahun, para guru dan warga pendidik akan merayakan hari bertuah ini iaitu Hari Guru. Tidak dinafikan bahawa guru telah memainkan peranan penting di dalam negara dan masyarakat. Guru merupakan agen perubah dan pembangun generasi yang bakal mewarisi tampuk kepemimpinan negara dan umat melalui wadah pendidikan.

Sumbangan dan jasa guru di pelbagai institusi samada di peringkat tadika, sekolah atau universiti tidak ternilai harganya. Merekalah merupakan tulang belakang kemajuan dan keutuhan negara. Di atas pundak merekalah lahirnya para tokoh, para figur, para teknokrat, para usahawan, pekerja dan rakyat yang berjiwa mulia dan luhur.

Justeru, usaha memperkasakan profesion perguruan amat-amatlah dialu-alukan bagi menangani cabaran semasa dan tuntutan zaman. Hari ini para guru berdepan dengan pelbagai rencam masalah sosial di kalangan warga pelajar, isu PPSMI, pelaksanaan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) dan usaha melahirkan pewaris kepemimpinan negara dan umat bertaraf dunia dan berminda kelas pertama.

Sejarah telah membuktikan, para guru merupakan pelopor satu kebangkitan (nahdah) dan agen perubahan umat yang tercerna pada sosok tubuh baginda Rasulullah s.a.w. Muhammad bin Abdullah. Baginda merupakan murabbi, muallim, mursyid, muwajjih, mudarris, da’ie bahkan mahaguru terulung di dunia sepanjang zaman. Keupayaan dan kemampuan baginda melahirkan tokoh-tokoh besar umat melalui madrasah ar-Rasul harus dikaji dan dicontohi oleh warga pendidik sekalian. Metodologi pendidikan baginda harus ditelaah dan dijadikan inspirasi idealisma warga pendidik bagi mengembalikan semula keagungan umat dan negara.

Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) mengucapkan “Selamat Hari Guru” kepada semua warga pendidik di seluruh pelusuk negara. ISMA berharap para guru terus iltizam dan komited terhadap tugas serta berdedikasi dalam melaksanakan jihad pendidikan ini. Semoga para guru mampu memimpin satu perubahan bagi menyongsong satu kebangkitan.

Pujangga Ahmad Syauqi pernah bermadah:

Bangun dan berilah kemulian kepada seorang guru.
Kerana hampir seorang guru berperanan sebagai seorang rasul.

Sumber: Laman Web ISMA

Previous
Next Post »