Monolog Diri : "Saya Seorang Guru"

Saya di Bilik Guru SKPCT

Ramai orang berkata, tugas guru merupakan tugas yang mulia. Saya sendiri akui kemuliaan seorang guru. Dengan penuh sabar dan tabah mendidik murid, menjadikan mereka insan berguna. Sebagai perkongsian pada kali ni, setelah sekian lamanya Jil Muallim ini tidak dikemaskini. Kerana perkataan keramat 'sibuk' sering menjadi alasan agar saya tidak mewadahkan sesuatu di sini. Maaf saya pohon kepada pembaca.

Sebagai perkongsian ingin saya kisahkan pengalaman selama hampir 5 minggu berpraktikum di sebuah sekolah di Kuala Terengganu. Saya mula merasai 'susah' menjadi seorang guru sejak di sini. Sebelum ini, saya menjalani praktikum di sebuah sekolah pinggir bandar yang nyata berbeza suasananya berbanding dengan sekolah di tengah bandar Kuala Terengganu ini.

Disebabkan sekolah ini merupakan sekolah di tengah bandar, murid-muridnya juga terdedah dengan persekitaran yang moden dan serba lengkap. Tidak pernah merasa susah kerana selalui disenangkan oleh semua pihak. Ini merupakan suatu cabaran buat saya. Kerana keadaan murid-murid yang kebanyakannya berada di zon selesa, sifat malas sangat terserlah. Pada pengamatan saya, dapat saya perhatikan murid-murid 'kelas belakang' ini bukannya tidak pandai tetapi sedikit malas. Seperti kata seorang guru kepada muridnya yang 'kelas belakang' di sini, "Kalau ada orang jual ubat, cikgu akan tanya, ada tak ubat malas?" Maka bergelak ketawalah murid-murid itu.

Dalam menjalani rutin harian, pejam celik, saya sudah 5 minggu di sini. Mula dengan perasaan yang kosong, sekarang penuh rasa kasih dan sayang kepada murid. Memang penat bergelar seorang guru. Mana tidaknya, Bermula pada awal pagi, bergerak ke sekolah dan berkhidmat. Selepas itu pulang ke rumah dan terus memikirkan apa yang hendak diajar keesokan harinya. berpening-pening merancang pelajaran dengan baik, menyediakan Bahan Bantu Mengajar (BBM) dan lembaran kerja, sehinggakan saya sendiri sering tidur lewat untuk menyediakan bahan-bahan pengajaran ini. Semua ini saya lakukan dengan rela dan tabah demi memastikan objektif dan hasil pembelajaran dapat dicapai. Terasa berdosa jika tidak melakukannya dengan terbaik dan cemerlang kerana MURID BERHAK MENDAPATKAN PELAJARAN TERBAIK DARIPADA GURUNYA.

Itulah amanah yang dipikul oleh seorang guru, tambahan pula saya guru permulaan, banyak lagi yang perlu saya pelajari dari guru-guru senior. Walaupun berat dan perit, namun kehadiran murid-murid yang pelbagai telatah menghiburkan hati. Tambahan pula saya banyak bersama murid tahap 1 - Tahun 1 dan Tahun 2. Mereka memang menghiburkan hati saya, menceriakan hari dengan gelak tawa dan telatah yang melucukan. Begitulah saya satu ketika dahulu, semasa umur saya sebaya mereka. Kanak-kanak sebaya 7 dan 8 tahun memang tidak dapat dipisahkan dengan bermain. Sehinggakan masuk ke kelas juga bermain. Kadang-kadang penat mengawal kelas dek kerana melayan fitrah bermain mereka. Di sinilah kesabaran saya diuji.

Sepanjang mengajar Matematik Tahun 2, saya dapat merasa kepuasannya apabila menyemak buku latihan murid. Saya dapat memerhatikan dengan jelas murid mana yang faham dan murid mana yang tidak dapat memahami isi pelajaran yan disampaikan. Baru-baru ini saya telah diselia oleh pensyarah pembimbing. Alhamdulillah, syukur kepada-Nya kerana mempermudahkan segala urusan saya pada hari tersebut. Murid-murid memberikan kerjasama yang sangat baik kepada saya. Terima kasih anak-anak.

Di sebalik seronoknya mengajar Tahun 2, saya turut mengajar Pendidikan Jasmani (PJ) Tahun 1. Lain kisahnya berbanding Matematik. Objektif mata pelajaran PJ ialah seronok. Namun, dalam mengecapi keseronokan, aspek keselamatan perlu diberi perhatian. Disebabkan saya mengajar Tahun 1, saya sendiri sudah seperti mereka - chicken dance bersama, melompat bersama, berlari bersama, menari bersama dan segala aktiviti dilakukan bersama supaya keseronokan dicapai. Melalui pendekatan ini, saya dapat merasai murid sayang dengan saya kerana guru pun turut bermain bersama mereka, menyelami jiwa mereka sebagai kanak-kanak.

Hari ini bermula Operational Target Indicator - O.T.I. sebagai ujian setelah belajar sekian bulan. Saya sendiri merasai debaran sebagai seorang guru, kerana ujian ini menjadi ukuran kepada pengajaran saya. Saya telah berusaha sedaya mungkin, segalanya saya serahkan kepada Allah. Saya doakan agar semua dapat menjawab dengan baik. Ameen.



27 Julai 2010
12:55 tengah hari
Bilik Guru, SKPCT

*Kertas jawapan murid saya telah sampai di meja saya ketika saya menamatkan penulisan ini. Berdasarkan pemerhatian saya secara rawak, murid saya dapat menjawab dengan baik. Namun, belum dapat dibuat kesimpulan lagi, kena semak dahulu semua kertas. Semoga saya diberi kekuatan untuk menyemak kertas soalan mereka semua. Doakan saya...

Post a Comment

6 Comments

  1. teruskan usaha mendidik anak2 dengan pengetahuan dan bimbingan, riduan!

    ReplyDelete
  2. Terima kasih Nasrul. Insyaallah, dengan iringan doa sahabat-sahabat juga...

    ReplyDelete
  3. teruskan usaha mendidik anak2 dengan pengetahuan dan bimbingan, riduan!

    ReplyDelete
  4. Terima kasih Nasrul. Insyaallah, dengan iringan doa sahabat-sahabat juga...

    ReplyDelete
  5. Cantiknya blog Abi..lama sgt x dengar khabar? semoga sihat sentiasa :)
    .

    ReplyDelete
    Replies
    1. Alahamdulillah... Sihat dan bahagia di Sarawak ni.. Fathuddin apa khabar?

      Delete