Monolog Diri : "Saya Seorang Guru II - Peperiksaan UPSR"


Esok akan bermulalah satu ujian dan penilaian bagi anak-anak tahun 6 di sekolah-sekolah seluruh negara. Debaran ini bukan sahaja dirasai oleh murid-murid yang mendudukinya, tetapi turut dirasa oleh guru-guru di seluruh Malaysia. Inilah suatu indikator penentuan segala usaha dan bertungkus lumusnya murid, guru dan ibu bapa berhasil dengan kejayaan cemerlang mahupun kegagalan yang sememangnya suatu penyesalan.

Saya sendiripun cukup berasa berdebar-debar, memandangkan saya punya anak murid tahun 6 yang pernah saya bantu dan bimbing semasa kelas tambahan tusyen semasa praktikum. Melihat kejayaan mereka semua dalam peperiksaan, terutama Matematik (subjek major saya) adalah harapan mana-mana guru yang mengajarpun termasuk saya. Kalau nak diukur usaha saya yang sangat sedikit membantu guru-guru lain membimbing anak-anak kelas GALUS (murid kelas belakang yang sentiasa gagal, yang menjadi harapan sekolah supaya lulus - GAGAL ke LULUS - GALUS), namun saya cukup mengharapkan usaha kecil ini dapat membantu anak-anak tersebut menjawab peperiksaan.

Teringat kenangan ketika saya berada di Tahun 6 dahulu. Guru-guru cukup berdedikasi membantu kami supaya berjaya. Dengan kelas tambahan petang yang tidak berbayar, guru-guru sanggup meluangkan masa. Dan ketika itu syukur tak terkira, kerana dapat tusyen free - bukan suatu yang senang, ini satu anugerah. Tapi kalau nak dibandingkan dengan anak-anak zaman sekarang, sedih saya melihat. Guru-guru sanggup datang untuk membantu, ale-ale murid yang datang pun separuh sahaja. Kalau masa saya belajar dahulu, keredhaan dan keberkatan ilmu guru yang saya dambakan. Itu suatu elemen penting untuk berjaya. Pada guru-guru tahun 6 sekalian, redhalah ilmu yang dicurahkan pada anak-anak ini, kerana mereka sangat perlukan elemen ini untuk menjawab peperiksaan dengan tenang.

Pada anak-anak yang bakal menduduki peperiksaan, saya doakan agar dipermudahkan menjawab peperiksaan. Pada anak-anak yang bakal menjawab peperiksaan, saya selalu berpesan :
1. Jaga kesihatan
2. Banyakkan berdoa dan solat hajat
3. Minta restu daripada ibu dan ayah
4. Ulangkaji secara bijak pada saat-saat akhir
5. Buat persiapan kelengkapan peperiksaan awal
6. Bertawakal setelah berusaha



Salam kejayaan dari saya,
Guru Praktikum IPG Kampus Dato' Razali Ismail
PBS I & II - SK Taman Kenari, Kulim, Kedah
PBS III - SK IPG KDRI, Kuala Terengganu, Terengganu
PBS IV - SK Sungai Ular, Kulim, Kedah
Praktikum I - SK Bukit Losong, Kuala Terengganu
Praktikum II - SK Pusat Chabang Tiga, Kuala Terengganu

R_alKindy

Post a Comment

3 Comments