Walimatul Urus Pada Musim Cuti Sekolah

Musim cuti persekolahan ini, sememangnya ramai yang mengambil kesempatan untuk mengadakan walimah. Bersesuaian dengan cuti persekolahan, kesempatan ini diambil bertujuan untuk memudahkan semua pihak, yang bekerja turut mengambil cuti untuk bersama merasai kemeriahan walimah.


Cincin merupakan mahar yang menjadi pilihan dalam perkahwinan. (Gambar sekadar hiasan)



Definisi Walimah

Walimah dari aspek bahasa bermaksud berkumpul. Manakala pada istilah syara' ianya bermaksud jamuan atau kenduri yang diadakan sempena majlis perkahwinan bertujuan memberitahu orang ramai tentang perkahwinan tersebut.

عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَأَى عَلَى عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ عَوْفٍ أَثْرَ صُفْرَةٍ فَقَالَ مَا هَذَا؟ قَالَ يَارَسُوْلَ اللهِ اِنِّيْ تَزَوَّجْتُ امْرَأَةً عَلَى وَزْنِ نَوَاةٍ مِنْ ذَهَبٍ فَقَالَ بَارَكَ اللهُ لَكَ. أَوْلمْ وَلَوْ بٍشًاةٍ.
Daripada Anas bin Malik r.a. bahawa Nabi s.a.w. telah melihat warna kuning pada Abdul Rahman bin 'Auf. Lalu baginda bertanya, "Apakah ini?" Jawab Abdul Rahman : "Ya Rasulullah! Sesungguhnya saya telah berkahwin dengan seorang perempuan, maharnya emas seberat biji tamar." Maka sabda baginda : "Allah telah memberkati engkau. Berkendurilah walau dengan menyembelih seekor biri-biri."
(Muttafaq alaih)


Tuntutan dan Adab Mengadakan Walimah

Sesetengah ulama' mengatakan bahawa walimah itu wajib menurut lahirnya perintah dalam hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik r.a. Namun, jumhur ulama' telah bersepakat mengatakan bahawa walimah adalah sunat kerana ianya jamuan makanan lantaran kesukaan yang timbul lantaran perkahwinan, sama seperti jamuan makan yang lainnya dan diqiyaskan menurut kenduri korban (udhiyyah) dan segala macam kenduri. Namun, ianya muakkadah iaitu sangat dituntut dan seelok-eloknya berdasarkan keadaan kemampuan pihak suami.

Walimah yang dianjurkan hendaklah ikhlas diadakan untuk mengistiharkan perkahwinan sebagai tanda kesyukuran kepada Allah. Jemputan pula tidak dibeza-bezakan antara satu sama lain, terdiri daripada semua golongan miskin dan kaya. Sabda baginda Nabi s.a.w.:

شَرُّ الطَّعَامِ طَعَامُ الْوَلِيْمَةِ تُدْعَى لَهَا الْأَغْنِيَاءُ وَتُتْرَكُ الْفُقَرَاءُ
Maksudnya: Seburuk-buruk makanan kenduri yang dipanggil kepadanya orang-orang kaya dan ditinggalkan orang-orang fakir.
(Muttafaq 'alaih)

Namun, walimah dituntut diadakan secara besederhana, bukan bermewah-mewah. Adalah lebih afhal jika walimah dianjur secara besederhana daripada terpaksa berhutang atau membazir-bazir. Inilah anjuran Islam.

Anjurkanlah walimah mengikut kemampuan dan kesederhanaan yang sangat dituntut dalam Islam. Sama ada di dewan mahupun di rumah kediaman adalah mengikut kesesuaian. Yang lebih penting ialah redha Allah dalam segala usaha dan kerja buat kita, Insyaallah. (Gambar sekadar hiasan)


Dalam masa yang sama, kita harus sedar bahawa perkahwinan adalah sunnah Rasulullah s.a.w. Seharusnya majlis yang diberkati seperti ini tidak dicemari dengan kemaksiatan kepada Allah seperti tari-menari, percampuran antara lelaki dan wanita, hiburan yang melalaikan mahupun makanan serta minuman yang haram. Namun, Islam tidak melarang umatnya menyelitkan hiburan secara yang dibenarkan syara'. Hukum menyelitkan sedikit hiburan seperti pukulan rebana dan paluan kompang adalah harus. Sabda Rasulullah s.a.w.:

فَصْلُ مَا بَيْنَ الْحَلَالِ وَالْحَرَامِ الدُّفُّ والصَوْتُ فِي النِّكَاحِ
Maksudnya: Penggalan (pemisah) di antara halal dan haram ialah gendang dan suara dalam perkahwinan.
(Riwayat Imam at-Tarmizi – hadis berstatus hasan)

Bagaimana dengan nasyid islamik? Ianya sama juga dengan pukulan rebana dan paluan kompang iaitu diharuskan selagi mana tidak melalaikan. Maksudnya apabila tiba waktu solat dan azan berkumandang, hendaklah azan dan solat itu diberikan keutamaan dengan menutup nasyid-nasyid yang diperdengarkan.

Paluan kompang dan selawat ke hadrat junjungan baginda Muhammad s.a.w. menyerikan lagi walimah. Semoga beroleh keberkatan. (Gambar sekadar hiasan)



Menghadiri Jemputan Walimah

Jumhur ulama' telah bersepakat menyatakan menghadiri jemputan dan undangan kenduri kahwin adalah fardu ain, iaitu wajib ke atas setiap individu yang diundang. Ini berdasarkan hadis yang disabdakan oleh baginda Nabi s.a.w:

وَمَنْ لَمْ يَجِبِ الدَّعْوَةَ فَقَدْ عَصَى الله وَرَسُوْلَهُ
Maksudnya: Dan barangsiapa yang tidak mendatangi panggilan, maka sesungguhnya dia telah menderhakai Allah dan Rasul-Nya.
(Muttafaq 'alaih)

Berdasarkan hadis sahih itu, jelas menunjukkan bahawa menghadiri jemputan dan undangan kenduri perkahwinan hukumnya wajib. Bagaimanapun, kalangan ulama berpendapat bahawa hukum wajib itu bergantung kepada syarat-syarat tertentu.

Pertama:
Yang menjemput atau mengadakan kenduri perkahwinan itu orang Islam.

Kedua:
Orang yang dijemput adalah me-nyeluruh tanpa mengira bulu atau kedudukan, yakni tidak membeza-bezakan yang kaya dan miskin.

Ketiga:
Jemputan ke majlis perkahwinan itu dibuat secara khusus kepada setiap orang bukan secara umum, sama ada dengan cara menemuinya, melalui kad jemputan atau melantik wakil untuk menjemputnya. Sekiranya jemputan dibuat secara umum seperti berkata atau membuat iklan menjemput penduduk sesuatu tempat itu ke majlis itu, maka tidak wajib menghadiri jemputan berkenaan.

Keempat:
Pada lahirnya segala perbelanjaan untuk mengadakan majlis itu daripada wang yang halal.

Kelima:
Tidak terdapat di majlis itu orang yang menyakiti orang yang dijemput.

Keenam:
Tidak ada di majlis itu sesuatu yang mungkar seperti arak atau majlis tari menari yang haram.

Ketujuh:
Tidak ada jemputan yang lebih awal daripada itu.

Kelapan:
Tiada sebarang keuzuran yang menghalangnya hadir.

Kesimpulannya, hukumnya wajib atas setiap orang yang mendapat jemputan ke majlis kenduri perkahwinan untuk menghadirinya jika tidak terdapat satu daripada perkara yang bercanggah dan bertentangan dengan syarat-syarat yang disebutkan.

Hadirnya kad jemputan bukanlah sekadar adat, tetapi sesuatu yang wajib dipenuhi. (Gambar sekadar hiasan)


Hikmah Walimah

Secara ringkasnya, antara hikmah walimah yang dianjurkan berteraskan syara' adalah:
  1. Mengishtiharkan perkahwinan yang sah menurut syara'.
  2. Melahirkan rasa gembira di hati ahli keluarga dan para jemputan.
  3. Memupuk sifat pemurah
  4. Tanda kesyukuran ke hadrat Allah
  5. Memupuk semangat kerjasama antara masyarakat
  6. Mengeratkan silaturrahim
Menghadiri walimah dapat mengeratkan lagi tali silaturrahim yang telah dibina. Begitu indahnya Islam ini memberi ruang kepada umatnya memenuhi tuntutan fitrah iaitu berkasih sayang sesama manusia. (Gambar sekadar hiasan)


Rujukan:
  1. Ustaz 'Abdul Hamid Hakim.(2006).Al-Mu'in Al-Mubin (Edisi terjemahan Bahasa Melayu - Rumi oleh Syarif Zaini Daud dan Noraine Abu).Kuala Lumpur: Al-Hidayah Publishers
  2. Siti Nor Bahyah Mahamood & Zulina Hassan. (2006).31 Ciri Suami Idaman.Kuala Lumpur: Telaga Biru Sdn. Bhd.
  3. Aimi bin Hamzah, Muhammad Haidir Muhammad Isa & Muhammad Shah Ujang.(2003).Pendidikan Syariah Islamiyyah Tingkatan 5.Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka
  4. http://www.masjidrengit.com/mula/index.php?option=com_content&view=article&id=96:wajib-hadir-majlis-kenduri-kahwin&catid=36:panduan&Itemid=62

Post a Comment

1 Comments