Sambutan Hari Guru Sebagai Guru Praktikum

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Hari ini memang penat sangat, setelah beberapa hari hanya penat memerah otak untuk mengulangkaji pelajaran untuk peperiksaan akhir. Tetapi hari ini, saya banyak keluarkan tenaga kerana saya telah hadir di sekolah tempat saya berpraktikum bagi bersama-sama meraikan sambutan hari guru peringkat SKTG. Sememangnya hati saya merasa seronok dan gembira kerana hari ini merupakan hari bermakna buat saya.

Setibanya saya di sekolah, saya rasa berdebar-debar untuk menuju ke tapak perhimpunan. Di benak pemikiran saya, hanyalah terbayang apakah reaksi anak-anak didik yang dikasihi dengan kehadiran saya. Saya tiba di sekolah agak lewat daripada waktu biasa, iaitu sekitar 7.30 pagi. Namun, saya gagahkan juga diri menuju ke tapak perhimpunan. Saya dapat lihat reaksi mereka yang memerhatikan kedatangan guru yang pernah mengajar mereka - senyum, melambai-lambaikan tangan dan ada yang datang dan salam serta mencium tangan saya. Betapa bertuahnya saya menjadi seorang guru. Terasa disayangi oleh mereka.

Upacara pada pagi ini bermula dengan perhimpunan biasa - nyanyian tiga buah lagu. Diikuti dengan pembacaan perutusan Hari Guru oleh Menteri Pelajaran Malaysia, Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia dan Pengarah Jabatan Pelajaran Terengganu. Dalam ketiga-tiga perutusan yang dibacakan ini, dapat saya rumuskan bahawa saya selaku guru mempunyai tanggungjawab yang berat untuk dipikul bagi menjana transformasi pendidikan negara, Allahu Rabbi!

Kemudian disusuli oleh ucapan Guru Besar dan Presiden PIBG SKTG yang mengharapkan yang terbaik daripada guru-guru untuk terus berusaha menjana transformasi pendidikan. Dalam hatiku bermonolog "Insyaallah, akan ku cuba menjadi guru yang terbaik." Seterusnya adalah nyanyian lagu Guru Malaysia dan lagu tema "Guru Penjana Transformasi pendidikan Negara". Saya berasa sebak semasa meyanyikan lagu tersebut, terfikir adakah amanah yang dimandatkan kepada saya sebagai seorang guru telah dilaksanakan dengan sebaiknya setakat saya berkhidmat di sekolah walaupun baru 6 bulan (tempoh berpraktikum). Namun, lagu kedua iaitu lagu tema menjadi sesuatu yang melucukan di mana saya dan rakan guru yang lain tidak dapat menyanyikan lagu tersebut lantaran lagu tersebut agak baharu. Saya terhibur sebentar dengan gelak tawa anak-anak didik. Namun, masih lagi sebak di hati.

Terjadinya suatu peristiwa yang bagi saya menyentuh perasaan saya. Ketika itu saya berjumpa dengan rakan guru perempuan untuk mengucapkan ucapan selamat hari guru (guru-guru lelaki telah saya ucap terlebih dahulu). Ketika itu datang dua orang murid yang pernah saya ajar datang memberikan hadiah kepada saya. Terkeluar daripada mulut saya, "Ya Allah, susah-susah je kamu". Lalu, salah seorang rakan guru yang saya panggil sebagai Kak Ani pun membalas, "Ambik wan, itu penghargaan budak kepada wan." Terasa terharu, betapa bersyukurnya diri kepada-Mu Yang Maha Pengasih, mengurniakan kasih sayang murid-murid kepada gurunya. Ada yang datang dan berkata, "Cikgu dop kabor pun nok maghi. Kite dop beli hadiohpun ke cikgu" (Loghat Terengganu, maksudnya: Cikgu tak beritahupun nak datang. Saya tak belikan hadiahpun untuk cikgu), saya dengan tenang menjawab, "Terima kasih, tak perlu susah-susah. Kamu hadiahkanlah cikgu kejayaan kamu dalam pelajaran." Dia kembali senyum. Hati saya gembira.

Sekitar Perhimpunan Pagi Sambutan Hari Guru. Para guru menerima hadiah daripada murid.


Kerusi yang menjadi tempat duduk saya sebentar tadi dipenuhi dengan hadiah. Saya dihujani dengan ucapan selamat hari guru yang diberi oleh anak-anak didik, sama ada yang pernah ajar ataupun hanya yang pernah saya masuk kelasnya hanya sekali kerana jadual waktu ganti. Rasa terharu yang amat sangat, sehingga merah mata kerana sebak yang dirasakan belumpun surut sejak lagu Guru Malaysia berkumandang tadi.

Sejurus kemudian, para guru diberi masa untuk bersalin pakaian untuk senam robik dan sukaneka. Pada pagi ini, saya dan rakan saya mengendalikan senam robik, sangat menarik dan memenatkan. Melompat-lompat, bergerak lincah dengan keadaan fizikal saya yang seadanya dan membuatkan banyak jiwa seronok dan ketawa riang, bergembira dengan usaha diri yang tak seberapa. Di hati, inilah yang dapat saya berikan buat kalian anak-anak didikku. Menjadi penghibur adalah sebahagian daripada tugas saya sebagai guru.

Untuk acara sukaneka, para pesertanya adalah terdiri daripada para guru. Saya sekali lagi melibatkan diri kerana guru Rumah Kuning hanyalah kami lapan orang guru, peserta yang dikehendaki pun lapan orang juga. Saya memang sangat seronok mengambil bahagian dalam acara. Sedang sibuk beraksi di medan sukaneka, berkumandang ucapan-ucapan dedikasi oleh anak-nak didik buat guru mereka disusuli dengan lagu. Saya tertarik dengan salah satu daripadanya,
"Ucapan ini ditujukan oleh Fikri Danial Tahun 5 Al-Amanah kepada Sir Ridzuan, dengan ucapan Selamat Hari Guru, saya sayang cikgu." 
Terhenti sekejap gerak langkah di arena sukaneka. Terus terang saya katakan, tersentuh hati saya dengan ucapan yang ringkas dan padat itu. Fokus saya sedikit terganggu kerana mencari si pengirim ucapan, tidak kelihatan. Padahal sebentar tadi dia ada berhampiran saya.

Sekitar sukaneka guru. Berentap habis-habisan.


Saya kembali fokus dengan sukaneka. Sejurus kemudian, acara diakhiri dengan beberapa persembahan murid dan guru serta cabutan bertuah guru-guru dan kakitangan sekolah.  Saya tidak bertuah dalam cabutan bertuah tersebut, namun saya berasa sangat bertuah pada hari penuh makna ini kerana saya terasa sangat dihargai oleh anak-anak didik dan rakan-rakan guru SKTG. Walaupun dengan ucapan "Selamat Hari Guru", namun bagi saya ianya sangat memberi makna untuk menaikkan semangat saya agar terus berusaha menyampaikan ilmu tanpa mengenal erti jemu dan membantu anak-anak didik.

Gambar kenangan bersama anak didik yang dikasihi bersempena Hari Guru. Cikgu doakan kamu semua berjaya di dunia dan akhirat.


Di saat menulis entri ini pada ayat-ayat terakhir, ingin saya merakamkan jutaan terima kasih buat semua guru yang telah banyak berkorban untuk kejayaan saya sehingga ke hari ini.

  • Guru-guru Tadika Cina Taman Kenari, Kulim, Kedah
  • Guru-guru Sekolah Kebangsaan Kulim (Bandar), Kulim, Kedah
  • Guru-guru Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Baling, Baling, Kedah
  • Guru-guru / Tutor-tutor Kolej Matrikulasi Perlis, Arau, Perlis
  • Pensyarah-pensyarah Institut Perguruan Kuala Terengganu hinggalah dikenali sebagai Institut Pendidikan Guru Kampus Dato' Razali Ismail, Kuala Terengganu, Terengganu


Juga buat rakan-rakan guru yang mengenali saya, terima kasih atas segala bantuan dan tunjuk ajar kalian semasa program latihan mengajar - Pengalaman Berasaskan Sekolah (PBS) dan Praktikum.

  • Guru-guru Sekolah Kebangsaan Taman Kenari, Kulim, Kedah (PBS I - Mac 2008 & PBS II - Ogos 2008)
  • Guru-guru Sekolah Kebangsaan IPG KDRI, Kuala Terengganu, Terengganu (PBS III - Mac 2009)
  • Guru-guru Sekolah Kebangsaan Sungai Ular, Kulim, Kedah (PBS IV - Ogos 2009)
  • Guru-guru Sekolah Kebangsaan Bukit Losong, Kuala Terengganu, Terengganu (Praktikum I - Mac & April 2010)
  • Guru-guru Sekolah Kebangsaan Pusat Chabang Tiga, Kuala Terengganu, Terengganu (Praktikum II - Jun, Julai & Ogos 2010)
  • Guru-guru Sekolah Kebangsaan Tanjung Gelam, Kuala Terengganu, Terengganu (Praktikum III - Februari, Mac dan April 2011)



Gambar off record - saya dijemput oleh anak didik tahun 5 Al-Amanah untuk makan kek bersama mereka. Terima kasih anak-anak.

Selamat Hari Guru...
Semoga anda dan saya menjadi guru yang cemerlang untuk menjana transformasi pendidikan negara.
Saya cintakan kerjaya sebagai seorang guru...

Post a Comment

2 Comments

  1.  selamat hari guru rizwan.. walaupun dah sminggu berlalu ... semoga menjadi guru yg hebat :)

    ReplyDelete
  2.  Terima kasih. Amin, terima kasih atas doanya...

    ReplyDelete