Ahlan Wasahlan Ya Ramadhan

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.



Melangkah kita  memasuki Ramadan al Mubarak , bulan penuh barakah. Pastinya tersemat di sanubari hamba mukmin untuk melaksanakan tuntutan yang satu ini penuh kesabaran. Mengekang nafsu, menahan godaan ,melawan cubaan dan dugaan. Benarlah sabda Junjungan Besar S.A.W ”Puasa itu separuh kesabaran.” Sebesar-besar nikmat yang dikurniakan oleh Allah kepada hambanya ialah puasa yang menjadi benteng dari segala tipu daya syaitan.

Ubadah Bin Al Samit meriwayatkan, Nabi s.a.w. bersabda pada suatu hari ketika Ramadan hampir tiba (maksudnya) : Telah datang kepada kamu Ramadan bulan yang membawa barakah. Allah menyelubungi (melindungi) kamu,lalu Dia menurunkan rahmat serta menghapuskan kesalahan-kesalahan. 

Allah s.w.t.  memperkenankan doa pada bulan itu. Allah juga  melihat perlumbaan antara kamu dalam bulan Ramadan dan menyampaikan kebanggaannya  terhadap kamu kepada para malaikat. Oleh itu hendaklah kamu membuktikan kebaikan kamu kepadaNya. Sesungguhnya orang yang celaka itu ialah orang yang dijauhkan atau diharamkan oleh Allah daripada mendapat rahmatNya.

Kelebihan Ramadan banyak dinukilkan para sahabat melalui hadis Rasulullah antaranya; Abu Hurairah berkata Rasulullah s.a.w. bersabda (maksudnya)
"Barang siapa berpuasa Ramadan dan mendirikanya dengan penuh keimanan dan menuntut pahala, diampun baginya dosa-dosa terdahulu."

Nyatalah orang yang berpuasa akan diberi balasan secukupnya  serta dilipat ganda pahalanya. Rasulullah pernah bersabda  maksudnya:
"Kemuncak segala bulan ialah bulan Ramadan dan kemuncak segala hari ialah hari Jumaat."

Demi meraih rahmat dan barakah, kurniaan dan maghfirah, pembebasan daripada api neraka dan ganjaran pahala berilpat ganda, laluilah bulan mulia ini dengan amalan-amalan seperti amalan para sahabat dan salafussoleh. Siang berpuasa dan  malam dihiasi dengan solat dan bacaan al-Quran.

Justeru jadikan Ramadan satu bulan yang memberi impak yang besar kepada sesiapa yang menghayatinya. Kita alu-alukan kedatangan  Ramadan dengan penuh keimanan dan keinsafan. Begitulah istimewanya Ramadan. Satu daripada dua cahaya yang dikurniakan Allah kepada hamba-hambanya yang boleh memadamkan kegelapan. Kegelapan kubur dan kegelapan mahsyar. Wallahua’lam.

Salam peringatan buat kita semua. 


Post a Comment

0 Comments