Formula Matematik Mudah Semasa Membaca Al-Quran

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Setelah lama saya tidak mengemaskini weblog ni, akhirnya saya diberi kekuatan oleh-Nya untuk menulis sesuatu. Pada kali ini, ingin saya kongsikan bahan yang saya dapat daripada kawan-kawan di Facebook. Inilah kegunaan Facebook yang dapat kita manfaatkan untuk kebaikan, iaitu menyebarluaskan ilmu yang sepatutnya kita tahu, Alhamdulillah.

Saya ingin mengajak diri saya dan saudara saudari pembaca merenung sebentar, berapa banyakkah halaman al-Quran yang kita baca setiap hari? Mungkin kita sibuk dengan tugasan seharian kita, namun jangan sesekali kita lupakan al-Quran, walaupun dengan membaca sepotong ayat al-Quran. Sesungguhnya banyak ayat al-Quran yang menerangkan suruhan dan kelebihan jika kita mengamalkan al-Quran dalam kehidupan seharian kita. Saya ingin petik dua daripadanya:

Surah al-Baqarah, ayat 2:
ذَلِكَ الْكِتَابُ لا رَيْبَ فِيهِ هُدًى لِلْمُتَّقِينَ
Maksudnya: Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya daripada Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa.

Surah al-Ahzab, ayat 34:
وَاذْكُرْنَ مَا يُتْلَى فِي بُيُوتِكُنَّ مِنْ آيَاتِ اللَّهِ وَالْحِكْمَةِ إِنَّ اللَّهَ كَانَ لَطِيفًا خَبِيرًا
Maksudnya: Dan ingatlah (serta amalkanlah) apa yang dibaca di rumah kamu dari ayat-ayat Allah (Al-Quran) dan hikmah pengetahuan (hadis-hadis Rasulullah). Sesungguhnya Allah Maha Halus tadbir-Nya, lagi Maha mendalam pengetahuan-Nya.

Justeru, marilah kita sama-sama memperbaiki pembacaan al-Quran kita. Saya sendiripun masih merangkak-rangkak dalam usaha membaca al-Quran dengan kesibukan diri. Tetapi marilah kita sama-sama memperkuatkan azam dan iltizam kita untuk terus membaca al-Quran walaupun hanya beberapa ayat sehari. Moga-moga kita beroleh rahmat dan hidayah daripada Allah.

Seperti yang saya katakan, apa yang saya ingin kongsikan sudah tentu berkaitan juga dengan membaca al-Quran. Ini sebagai pengetahuan tambahan kita, moga-moga bermanfaat untuk usaha kita membaca al-Quran dengan istiqamah.

Teks asal yang saya petik ini telah dimurnikan dari aspek susunan ayat dan ejaan perkataan bagi menjadikan ianya tulisan yang memartabatkan bahasa Melayu.
-----------------------------------------------------------------------------------------

Cara mudah mencari muka surat di dalam al-Quran.
Mari kita cuba.

Al-Quran adalah peninggalan Rasulullah s.a.w. kepada kita semua selaku umat baginda. Ada dua perkara yang Nabi Muhammad s.a.w tinggalkan kepada kita iaitu Al-Quran dan juga as-Sunnah untuk kita semua amalkan.

Berapa kali kita membaca Al-Quran dalam sehari? 1 kali? 2 kali atau semasa di dalam solat sahaja? Pahala paling mudah untuk kita dapatkan adalah melalui pembacaan al-Quran kerana setiap huruf diberikan 10 pahala, tambahan pula al-Quran adalah kalam Allah (datang daripada Allah sendiri bukan diciptakan manusia)


Tips yang hendak dikongsikan di sini adalah cara untuk kita menghafal muka surat setiap juzuk al-Quran. Memang menakjubkan kerana hanya dengan menggunakan formula matematik ringkas, kita dapat mengetahui muka surat setiap juzuk al-Quran. Jom sama-sama kita belajar.

Contoh 1
Jika anda ingin mengetahui Juzuk 5 di halaman ke berapa:

5 - 1 = 4
4 perlu didarab dengan 2 jadi 4 x 2 = 8
Letakkan no 2 selepas jawapan.
Jadi, juzuk 5 adalah pada halaman 82.

Sekarang lihat pada Quran dan anda akan lihat Juzuk 5 bermula pada halaman 82. Menarikkan?

Contoh 2
Jika anda ingin mengetahui Juzuk 10 di halaman ke berapa:

10 - 1 = 9
9 perlu didarab dengan 2 jadi 9 x 2 = 18
Letakkan no 2 selepas jawapan.
Jadi, juzuk 10 adalah pada halaman 182.

Contoh 3
Jika anda ingin mengetahui Juzuk 23 di halaman ke berapa:

23 - 1 = 22
22 perlu didarab dengan 2 jadi 22 x 2 = 44
Letakkan no 2 selepas jawapan.
Jadi, juzu 23 adalah pada halaman 442.

Subhanallah, memang menakjubkan.

-----------------------------------------------------------------------------------------

Komen Cikgu Al-Kindy:
Subhanallah, kagumnya saya dengan kebesaran-Mu Ya Allah. Memberi banyak erti untuk saya selaku bakal guru Matematik. Moga dapat saya manfaatkan untuk mendidik anak didik saya pada masa yang akan datang.

Jom sama-sama kita berubah.
Daripada tidak membaca al-Quran kepada membaca al-Quran...
Daripada membaca al-Quran satu ayat kepada beberapa ayat al-Quran...
Daripada jarang membaca al-Quran kepada kerap membaca al-Quran...
Daripada tidak memahami ayat al-Quran kepada memahami ayat al-Quran...
Daripada sekadar membaca kepada memahami dan mengamalkan ayat al-Quran...



Moga kita diberi kekuatan untuk menjadi sahabat baik al-Quran, serta terus berubah ke arah kebaikan. Insyaallah...

p/s: Belum terlambat bagi sesiapa yang belum memulakan bacaan al-Quran sempena Ramadhan ni. Masih berbaki lagi 10 hari. Ayuh sahabat-sahabat pembaca.

Post a Comment

2 Comments

  1. apakah nama bg frmula ini??mohon pnjelasan :)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Saya tak pasti la namanya. Saya hanya share sbb ada kebenarannya...

      Delete