Saya Seorang Guru - Inilah Sekolahku

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Sempena kesempatan yang ada pada cuti hujung minggu yang pertama ini, penulis sempat memanfaatkan untuk menulis dan menceritakan tentang sekolah penulis. Penulis ditempatkan di SK Parish, Balingian, Sarawak. Sekolah ini adalah di bawah urus tadbir Pejabat Pelajaran Dearah Mukah. Jarak daripada PPD lebih kurang 60km, mengambil masa 45 minit hingga 1 jam perjalanan kenderaan darat.

Penulis diberitahu bahawa sekolah ini dikategorikan sebagai sekolah yang lengkap kemudahan berbanding sekolah-sekolah lain di sekitar Mukah. Secara ringkasnya, sekolah ini dilengkapi dengan bangunan akademik (Pejabat, bilik guru, kelas-kelas untuk pengajaran dan pembelajaran, Pusat Sumber Sekolah, makmal Sains dan kelas pemulihan), bangunan makmal komputer, bangunan prasekolah, bangunan asrama, dewan  serta kuarters guru. Namun, bangunan asrama, dewan dan kuarters guru terletak di kawasan berlainan (pagar yang berbeza), namun berdekatan dengan kawasan sekolah.

1 - Bangunan makmal komputer  ::   2 - Bangunan prasekolah   ::   3 - Pintu masuk sekolah
4 - Bangunan akademik   ::   5 - Laluan pintu pagar depan sekolah   ::   6- Bangunan asrama lama (tak digunakan lagi)
7 - Bangunan sekolah lama (tak digunakan lagi)   ::   8 - Kelas Pendidikan Khas Integrasi (KPKI)

Bilangan guru di sini adalah seramai 24 orang termasuk penulis selaku guru baru. Bersama-sama dengan penulis, ada tiga orang guru baru yang ditempatkan di sini; seorang Guru Pendidikan Islam dan seorang lagi Guru Prasekolah. Bilangan murid pula melebihi 200 orang murid. Majoriti daripada mereka adalah berbangsa Melanau dan beragama Islam. Diikuti kaum Iban, Cina dan Melayu. 

Pada hari pertama penulis di sini setelah diambil oleh Guru Besar di hotel, Guru Besar dan Guru Penolong Kanan 1 terus berbincang perihal agihan jadual waktu mengajar. Namun, buat sementara waktu jadual baru siap, penulis diberikan jadual seorang guru yang baru sahaja dapat bertukar keluar dari sini. Walaupun penulis dilatih dengan opsyen major Matematik, namun penulis hanya diberi hanya satu kelas Matematik. Selebihnya adalah Bahasa Inggeris yang merupakan opsyen minor penulis. Ini merupakan cabaran baru buat penulis kerana banyak perkara yang perlu penulis belajar untuk mengajar Bahasa Inggeris.

Pada hari ketiga penulis di sini, penulis terlibat dengan Majlis Penutup Program Transisi Tahun 1. Penulis begitu teruja kerana ini adalah program sekolah yang pertama yang penulis sertai. Teringin juga nak lihat, bagaimana guru-guru di sini mengembleng tenaga menjayakan program. Syukur Alhamdulillah, pentadbiran di sini secara pemerhatian kasarnya dapat mendorong guru-guru untuk bergerak untuk menjayakan program. Program ini adalah di bawah kelolaan AJK Guru Tahun 1.

1 - Murid Tahun 1 beratur sebelum bergerak ke dewan   ::   2 - Guru-guru Wanita berbual bersama salah seorang daripada ibu murid   ::   3 - Guru-guru yang bersama-sama akan bergerak ke dewan   ::   4 - Penyampaian hadiah bagi pemenang aktiviti yang dijalankan   ::   5 - Jamuan selepas majlis   ::   6 - Wajah-wajah murid Tahun 1 2012

Pada ketika penulis mencoretkan entri ini, penulis dah pun kepenatan kerana seharian bekerja tanpa henti. Paginya di sekolah, selepas solat Jumaat pula di rumah sewa, mengemas barang-barang yang dibawa keluar dari bagasi. Sambil berehat, sempat penulis coretkan. Alhamdulillah, kawasan Balingian ini adalah kawasan liputan Celcom 3G. Jadi broadband agak laju di sini.

Sekian sahaja untuk kali ini, semoga penulis berkesempatan untuk menulis lagi.



Post a Comment

0 Comments