Saya Dan Posting di Bumi Kenyalang, Sarawak

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada pembaca sekalian.

Setelah sekian lama, saya kembali bernafas lagi dalam penulisan weblog Jil Muallim ni. Terlalu banyak halangan yang perlu saya tempuh untuk punyai ruang waktu dan kekuatan untuk menulis entri. Pada kali ini, saya sekali lagi ingin berkongsi monolog diri yang terbuku di hati, "Saya Seorang Guru V - Saya Dan Posting".

Setelah entri terakhir berkenaan sambutan Hari Guru ("Saya Seorang Guru IV - Saya Dan Sambutan Hari Guru"), terlalu banyak perkara yang telah saya lalui dalam kesibukan sebagai pelajar semester akhir. Dengan kerja-kerja Kajian Tindakannya, program Internship, Seminar Penyelidikan Tindakan PISMP Semester 8 2011 dan saya juga terpilih mewakili IPG ke Seminar Penyelidikan Tindakan IPG Zon Timur yang telah diadakan di IPG Kampus Kota Bharu, Pekalan Chepa, Kelantan. Semester yang sangat padat dengan aktiviti dan tugas yang perlu dilaksanakan. Alhamdulillah, Allah telah memberi kekuatan kepada saya untuk melaksanakannya dengan baik.

Selepas tamat peperiksaan akhir semester, saya telahpun mengikuti Kursus Induksi Sistem Saraan Malaysia (KISSM) dan Temuduga Lantikan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah di IPG KDRI. Alhamdulillah, kedua-dua hal penting ini dapat saya lalui dengan jayanya. Saya telahpun lulus KISSM dan ditempatkan di sekolah.

Mesti para pembaca tertanya-tanya, di manakah saya ditempatkan, dah tajuk pun tentang posting bukan? Berita berkaitan posting ni dah hampir seminggu sebenarnya. Pada mulanya saya rasa sangat teruja untuk tahu di mana saya bakal ditempatkan. Pada malam tu, saya telahpun membuat semakan di laman web KPM. Saya telahpun ditempatkan di S.A.R.A.W.A.K. Suatu yang di luar jangkaan saya.

Semakan Penempatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (PPPS) di laman web KPM
"Alhamdulillah syukur, rezeki saya di sana. Khidmatku diperlukan", monolog memujuk diri. Tapi saya juga seperti manusia lain. Bohonglah kalau saya katakan tidak terdetik rasa sedih  lansung. Terlintas di benak fikiran "Allahu Rabbi, jauh percaturan-Mu mendahului percaturan yang daku lakukan. Daku serahkan segala ketentuan kepada-Mu. Sesungguhnya Engkau lebih mengetahui sedangkan aku manusia yang tidak mengetahui".

Cuma saya menghadapi masalah, bagaimana nak dimaklumkan kepada kedua mak ayah yang tercinta. Saya dapat tahu penempatan sekitar pukul 1 pagi. Tatkala itu, mak ayah saya telah pun tidur. Saya pun tahu, mereka sangat mengharapkan pemergian saya ke alam pekerjaan tidak lagi jauh seperti pemergian saya dahulu untuk menyambung pelajaran selepas SPM pada tahun 2006. Walaupun hanya di Terengganu pada waktu itu, tapi sudah cukup jauh buat insan bernama ibu berjauhan dengan anaknya. Dan takdir saya kali ini lebih .... tak terkata (speechless)

Keesokan pagi selepas Subuh, saya keluar bilik menuju ke dapur. Berat hati nak bagitau kepada mak ayah, tapi akhirnya keluar juga kata-kata dari mulut, "Mak, ayah, abg dapat Sarawak". Senyap seketika hiruk pikuk pagi, pagi tu adalah pagi yang paling suram. Mak ayah pun bermuram durja, speechless. Akhirnya ayah bersuara, "Tak apalah, timba pengalaman baru di tempat orang."

Jadi pada hakikatnya saya secara rasminya ditempatkan di Bumi Kenyalang. Bukan lagi suatu mimpi. Apa yang saya harapkan, saya mampu menjadi guru yang terbaik dalam kalangan yang terbaik untuk mencurahkan bakti kepada anak didik di Sarawak. Ini adalah perjuangan yang mesti saya lalui dengan penuh ketabahan, kesabaran dan ikhlas. Saya akan cuba belajar bersyukur dengan rezeki yang saya dapat.


Malam terakhir di Kulim, Kedah, Malaysia
Doakan saya selamat sampai dan selamat menempuh pengalaman baru....



Post a Comment

2 Comments

  1. Assalamu'alaykum.. Semoga antum menjadi guru yang dapat menjadi contoh teladan yang baik bagi siswanya.. salam ukhuwah akhi..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Waalaikummus salam. Terima kasih... Insyaallah... Doakan ana ya asahabat...

      Delete