Saya Seorang Guru - Balingian Nan Permai

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Pada kesempatan ini, ingin penulis coretkan sedikit ceritera berkisarkan tempat penulis ditempatkan pada tarikh keramat 18 Januari 2012. Balingian kini menjadi tempat penulis bermastautin sejak ditempatkan. Penulis telahpun ditempatkan di sebuah sekolah di kawasan luar bandar, dalam daerah Balingian. Daerah kecil ini terletak dalam Daerah dan Bahagian Mukah. Jarak antara Balingian ke bandar Mukah adalah 56 km, dan Mukah adalah bandar besar yang terhampir untuk urusan-urusan yang penting.

Berbalik semula kepada Balingian, ianya merupakan sebuah pekan kecil yang terdiri daripada Bazar Balingian, stesen minyak, dan pejabat-pejabat kerajaan yang memenuhi keperluan asas antaranya seperti sekolah, klinik kesihatan, Jabatan Penerangan, Pejabat Majlis Daerah Dalat & Mukah (MDDM) cawangan Balingian, Jabatan Pendaftaran Negara dan Jabatan Pertanian.

1 - Jabatan Penerangan :: 2 - Pusat Aktiviti Komuniti 1 Malaysia :: 3 - Rumah Rehat Kerajaan
4 - Stesen Minyak (Kenderaan darat dan air) :: 5 - Pekan Balingian (Bazar Balingian) :: 6 - Klinik Kesihatan
7 - Jabatan Pendaftaran Negara :: 8 - Masjid Darul Taqwa

Penduduk Balingian adalah majoriti Muslim. Alhamdulillah, penulis sangat beruntung kerana suasana di sini tak jauh bezanya dengan kawasan kampung di tempat asal menulis. Yang berbezanya percakapan dan budaya penduduk tempatan. Majoriti penduduk di sini berbangsa Melanau. Secara pemerhatian mata kasar penulis selama tak sampai seminggu di sini, adat dan budaya Melanau ada banyak juga yang sama dengan Melayu. Jadi penulis tidaklah terlalu kekok kerana mereka di sini memahami adat dan budaya penulis. Diperkuatkan lagi dengan majoriti di sini Islam, jadi kerisauan berjauhan dari keluarga susut sedikit.

Kawasan Balingian ini adalah terletak di kawasan persisiran Sungai Balingian (Batang Balingian). Sungainya agak dalam, dan bewarna kehijauan. Sungai Balingian ini terkenal dengan hasil tangkapan udang, yang mana kewujudannya banyak atau sedikit mengikut musim. Pada hujung minggu pertama penulis di sini, penulis sempat pusing-pusing dan mengambil gambar kawasan sekitar Balingian. Penulis juga sempat mengambil angin di jeti binaan orang kampung untuk bot-bot milik persendirian berlabuh. 

1 - Sungai Balingian :: 2 - Orang kampung yang sedang memancing udang :: 3 - Rumah burung walit ::
4 - Buroq tunggangan penulis atas pinjaman daripada seorang sahabat guru senior untuk urusan penulis bergerak di sini. Jazakallah khair Cikgu Samsi Baharin Sebli atas kebaikan, semoga Allah membalasnya.

Keberadaan penulis di sini walaupun baru sahaja beberapa hari banyak memberi pengalaman baru kepada diri sendiri. Walaupun berjauhan daripada keluarga, namun penulis sangat bersyukur kerana penulis berada di kawasan yang sebegini. Semoga penulis diberi kekuatan untuk mengharungi kehidupan di sini sebagai pendidik, Insyaallah...



Post a Comment

0 Comments