Ayuh Turun Mengundi, Tunaikan Tanggungjawab Anda!

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Alhamdulillah, saya telahpun selesai membuat pembuangan undi di Pusat Mengundi Taman Kenari, Kulim. Lega rasanya apabila telah menunaikan tanggungjawab yang dipikul di bahu. Calon mana yang menjadi pilihan saya? Biarlah Allah yang Maha Mengetahui sahaja yang tahu. Apa yang penting bagi saya, saya telah lakukan yang terbaik bagi memilih calon yang terbaik lillahi Taala.
 
Pada pagi tadi, saya turun agak lewat dari rumah (8.30 pagi). Setibanya di Pusat Mengundi, orang ramai telah mula beratur untuk melakukan pendaftaran pengundian. Terdetik di dalam hati, kasihan saya lihat warga emas yang berdiri lama untuk mendaftar, termasuklah mak saya yang datang bersama saya. 





Setelah beratur hampir 30 minit, akhirnya sampai giliran saya, mak dan adik saya di meja pendaftaran. Setelah kerani pendaftaran memberikan nombor saluran, kami terus pergi ke bilik berkenaan melalui laluan yang telah ditetapkan. Semasa melalui bilik pegundian saluran lain, saya terlihat kelibat seseorang yang mendapatkan kertas undi yang baharu kerana salah menandakan calon pilihan menggunakan dakwat kekal yang dicalit pada jari.

Saya dan adik berada pada saluran yang sama. Setibanya di saluran 7, orang yang menunggu tidaklah ramai. Jadi saya tidak tunggu lama untuk masuk ke bilik pengundian. Kerani pertama membacakan nombor kad pengenalan dan nama. Diikuti dengan kerani kedua yang mencalit dakwat kekal pada jari telunjuk kiri saya. Seterusnya, kerani ketiga memberikan kepada saya dua kertas undi - kertas undi Parlimen dan kertas undi DUN. Saya terus melangkah ke kotak pengundian dan terus mengundi lillahi Taala. Setelah selesai, sayapun memasukkan kertas undi pada peti yang disediakan. Debaran yang dirasai hanya Allah sahaja yang tahu.

Setelah selesai, saya terus melangkah keluar dari bilik mengundi dengan penuh keyakinan kerana saya telah lakukan yang terbaik untuk Pilihan Raya Umum Ke-13. Semoga usaha saya akan dirahmati.


Jadi andapun, saya seru agar keluar mengundi. Jangan memberi alasan, sibuk dan tiada masa kerana anda penentu masa depan negara anda.

Mengakhiri entri pada kali ini, saya nak memberi cadangan untuk penambahbaikan pilihan raya pada akan datang:

1. Menyediakan satu bilik khas untuk warga emas dan OKU, duduk beratur menunggu giliran mendaftar undi. Tindakan ini adalah lebih mesra warga emas dan OKU.

Sekian dari saya,




Post a Comment

0 Comments