Salam Aidiladha, Salam Setulus Pengorbanan

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.


Alhamdulillah, pertama-tamanya dan selama-lamanya ingin saya merafakkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah Taala kerana saya masih lagi bernyawa dan berjuang mendidik anak bangsa sehingga hari ini. Perjuangan yang saya dan isteri saya lakukan di bumi Sarawak ini adalah pengorbanan dari kami. Semoga segala usaha dan kerja buat kami dinilai sebagai amal soleh di sisi-Nya.

Bersempena dengan sambutan Aidil Adha, ingin saya mengingatkan diri saya, keluarga dan sahabat-sahabat sekalian tentang dua peristiwa yang sangat signifikan dengan ibadah korban. Saya rasa ramai yang sudah dapat mengagak peristiwa apakah ia. Dua peristiwa yang besar ini sebenarnya dapat memberikan kita iktibar yang sangat besar akan pentingnya berkorban. Justeru, saya ingin memetik ringkasan kisah-kisah ini untuk renungan kita bersama.



Kisah Habil dan Qabil Mempersembahkan Korban Mereka

Rentetan daripada pergaduhan Habil dan Qabil berkenaan pasangan mereka untuk berkahwin, Nabi Adam seraya menghindari penggunaan kekerasan atau paksaan yang dapat menimbulkan perpecahan di antara saudara serta mengganggu suasana damai yang meliputi keluarga beliau secara bijaksana mengusulkan agar menyerahkan masalah perjodohan itu kepada Tuhan untuk menentukannya. Caranya ialah bahawa masing- masing dari Qabil dan Habil harus menyerahkan korban kepada Tuhan dengan catatan bahawa barang siapa di antara kedua saudara itu diterima korbannya ialah yang berhad menentukan pilihan jodohnya.
Qabil dan Habil menerima baik jalan penyelesaian yang ditawarkan oleh ayahnya. Habil keluar dan kembali membawa peliharaannya sedangkan Qabil datang dengan sekarung gandum yang dipilih dari hasil cucuk tanamnya yang rosak dan busuk kemudian diletakkan kedua korban itu kambing Habil dan gandum Qabil di atas sebuah bukit lalu pergilah keduanya menyaksikan dari jauh apa yang akan terjadi atas dua jenis korban itu.
Kemudian dengan disaksikan oleh seluruh anggota keluarga Adam yang menanti dengan hati berdebar apa yang akan terjadi di atas bukit di mana kedua korban itu diletakkan, terlihat api besar yang turun dari langit menyambar kambing binatang korban Habil yang seketika itu musnah ternakan oleh api sedang karung gandum kepunyaan Qabil tidak tersentuh sedikit pun oleh api dan tetap tinggal utuh.
Maka dengan demikian keluarlah Habil sebagai pemenang dalam pertaruhan itu karena korban kambing telah diterima oleh Allah sehingga dialah yang mendapat keutamaan untuk memilih siapakah di antara kedua gadis saudaranya itu yang akan dipersandingkan menjadi isterinya.

Sumber: http://harmoni-my.org/arkib/kisahnabi/index.htm#page=kisahhabildanqabilputeranabiadamas.htm 


Kisah ini Allah rakamkan sebagai Firman-Nya:

"Dan baca olehmu untuk mereka khabar berita , dikala anak Adam itu mempersembahkan korbannya maka Allah menerima korban salah seorang dari keduanya serta menolak korban yang seorang lagi"
Al-Maidah :- 27

Kisah Nabi Ibrahim a.s. dan Nabi Ismail a.s.

Ketika Nabi Ibrahim menampakkan kecintaan yang luar biasa dari yang seharusnya kepada anaknya, maka Allah s.w.t memerintahkannya untuk menyembelihnya. Allah s.w.t agar hanya Dia yang menjadi pusat cinta para nabi-Nya. Barang siapa yang mencintai Allah s.w.t, maka ia pun harus mencintai kebenaran dan orang yang mencintai kebenaran adalah orang memenuhi hatinya dengan cinta kepada Penciptanya semata. Ismail mewarisi kesabaran ayahnya. Nabi Ibrahim berdoa kepada Allah s.w.t sebelumnya:"Ya Tuhanku, anugerahkanlah kepadaku (seorang anak) yang termasuk orang-orang yang soleh" (QS. ash-Shaffat: 100)Allah s.w.t menjawab:"Maka Kami beri dia khabar gembira dengan seorang anak yang amat sabar." (QS. ash-Shaffat: 101) 
Kesabaran yang sama yang terdapat pada ayahnya, kebaikan yang sama, ketakwaan yang sama, dan adab kenabian yang sama pula. Ismail mendapatkan ujian yang pertama saat beliau kecil dan ujian itu berakhir saat Allah s.w.t memancarkan zamzam dari kedua kakinya sehingga darinya ibunya minum dan menyusuinya. Kemudian Ismail mendapatkan ujian yang kedua dalam hidupnya saat ia menginjak masa muda: 
"Maka tatkala anak itu sampai (pada umur sanggup) berusaha bersama-sama Ibrahim, Ibrahim berkata: Hai anakku sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku menyembelihmu. Maka fikirkanlah apa pendapatmu!' Ia menjawab: 'Hai bapakku, kerjakanlah apa yang diperintahkan kepadamu: Insya Allah kamu akan mendapatiku termasuk orang-orang yang sabar.'" (QS. ash-Shaffat: 102) 
Apa yang Anda kira terhadap jawapan si anak? Ia tidak bertanya tentang sifat dari mimpi itu, dan ia tidak berdebat dengan ayahnya tentang kebenaran mimpi itu, tetapi yang dikatakannya: "Wahai ayahku laksanakanlah apa yang diperintahkan. "Janganlah engkau gelisah kerana aku dan janganlah engkau menampakkan kesedihan dan keluh-kesah. "Engkau akan mendapatiku termasuk orang-orang yang sabar." Demikianlah jawapan seorang anak yang soleh terhadap ayahnya yang soleh. Itulah puncak dari kesabaran dari seorang anak dan tentu orang tuanya lebih harus bersabar. Itu bagaikan perlumbaan di antara keduanya untuk menguji siapa di antara mereka yang paling sabar. Perlumbaan yang tujuannya adalah meraih cinta Allah s.w.t. 
Allah s.w.t berfirman:"Dan ceritakanlah (hai Muhammad kepada mereka) kisah Ismail (yang tersebut) di dalam Al-Quran. Sesungguhnya ia adalah seorang yang benar janjinya, dan dia adalah seorang rasul dan nabi. Dan ia menyuruh keluarganya untuk bersembahyang dan menunaikan zakat, dan ia adalah seorang yang diredhai di sisi Tuhannya." (QS. Maryam: 54-55)



Pengorbanan Adalah Lambang Cinta Yang Tulus

Daripada kisah di atas, dapat kita lihat bahawa pengorbanan itu dapat dilakukan dengan penuh rela apabila rasa cinta yang mendalam. Betapa tulusnya cinta Habil kepada Allah s.w.t. lantaran baginda mengorbankan kambing yang baik-baik lagi sihat untuk dipersembahkan kepada Allah. Begitu jua begitu mendalamnya cinta baginda Nabi Ibrahim a.s. dan Nabi Ismail a.s. kepada Allah Yang Maha Esa lantaran kesanggupan baginda melaksanakan korban yang begitu besar dalam sejarah manusia.

Sebagai implikasinya kepada kehidupan kita sekarang, kita seharusnya perlu lakukan pengorbanan dengan penuh keikhlasan dalam apa-apapun jua pekerjaan yang kita lakukan agar ianya bukan sahaja memenuhi tuntutan duniawi, malah ianya sekaligus memenuhi tuntutan akhirat yang jauh lebih banyak dan besar ganjaran di sisi Allah.

Ayuh, ikhlaskan diri berkorban demi cinta yang tersemat di dalam hati kita.





Salam Aidiladha, salam setulus pengorbanan daripada kami,
Mohd Ridzuan, Anis Sakinah dan Ammar Syahmi.
Anak Perantau yang kini berkhidmat di Mukah, Sarawak


Post a Comment

0 Comments