KSSR Semakan Matematik Tahun 4 Bermula 2020

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Alhamdulillah, selesai sudah dua hari yang sangat padat dengan ilmu-ilmu berkaitan pengetahuan kandungan dan pedagogi (pedagogical-content knowledge, PCK) daripada Jurulatih Utama Kebangsaan, En Abdullah bin Rani dan pegawai-pegawai yang terlibat. Kami para peserta sangat bertuah kerana En Mazlan bin Awi, Ketua Unit Matematik, Bahagian Perkembangan Kurikulum, KPM sendiri yang turun padang bagi menyampaikan kandungan terkini dalam DSKP Matematik Tahun 4 yang akan mula dilaksanakan bermula tahun 2020.

Pemahaman Konsep dalam Matematik

Dalam mata pelajaran matematik ini, pemahaman terhadap konsep asas matematik adalah suatu yang wajib sebelum kemahiran-kemahiran lain diterapkan kepada murid. Oleh itu, sepanjang dua hari berbengkel, kami bukan sahaja didedahkan dengan peruvahan kurikulum, malah turut ditekankan adalah konsep asas matematik yang perlu dikuasai murid bagi setiap topik. Untuk ke arah itu, pembelajaran yang bermakna perlu dirancang oleh guru bersesuaian dengan tahap murid berpandukan Dokumen Standard Kurikulum dan Prestasi (DSKP) yang diterbitkan oleh BPK KPM. DSKP ini diibaratkan suatu kitab rujukan utama yang perlu dirujuk oleh semua guru sebelum merancang pembelajaran.

Perubahan Skop Kemahiran Matematik dalam DSKP Matematik Tahun 4

Terdapat sedikit perbezaan dalam skop kemahiran matematik dalam KSSR 2011 dengan KSSR Semakan 2017. Namun, skop tersebut masih merangkumi empat bidang pembelajaran yang utama, iaitu Nombor dan Operasi, Sukatan dan Geometri, Perkaitan dan Algebra serta Statistik dan Kebarangkalian. Skop kemahiran matematik ini secara ringkasnya seperti berikut:


Secara ringkasnya, perubahan kemahiran matematik dalam setiap skop seperti berikut:

1. Nombor dan Operasi
  • Kemahiran nombor ganjil dan nombor genap dibawa dari Tahun 5 ke Tahun 4.
  • Pengurusan kewangan dan tanggungjawab dalam membuat keputusan berkaitan kewangan - elemen baharu yang diperkenalkan secara spesifik dalam Tajuk Wang. 

2. Sukatan dan Geometri
  • Sistem 12 jam dan 24 jam dibawa dari Tahun 6 ke Tahun 4.
  • Unit masa adalah merangkumi jam, hari, minggu, bulan, tahun, dekad dan abad. Unit dekad dan abad dibawa dari Tahun 5 ke Tahun 4.
  • Unit panjang sistem ukuran metrik yang baharu diperkenalkan, iaitu desimeter, dekameter, miligram dan tan metrik. Unit ukuran imperial seperti inci, kaki, ela, batu, paun, auns, gelen, kuart dan pain juga diperkenalkan. Pengenalan kepada unit-unit tambahan ini adalah tidak melibatkan pengiraan. 
  • Kemahiran melukis garis serenjang dan selari adalah kemahiran baru yang diperkenalkan dalam KSSR Semakan berbanding hanya mengenal kedua-dua jenis garisan dalam KSSR sebelum ini. 
  • Menentukan perimeter bagi bentuk poligon hingga lapan sisi. 

3. Perkaitan dan Algebra
  • Pengenalan koordinat terus menggunakan tata tanda (x,y) yang sebelum ini diajar pada tahun 5.

4. Statistik dan Kebarangkalian
  • Kemahiran mentafsir data yang melibatkan carta pai telah dibawa ke tahun 3. Mentafsir piktograf dan carta palang masih kekal seperti KSSR lama. 

Mentaliti vs Realiti

Mungkin terdapat segelintir daripada rakan-raan guru yang berpendapat bahawa perubahan skop kurikulum ini membebankan. Pada suatu sudut pandangan ianya kelihatan membebankan kerana skop kurikulum bertambah, namun tidak pada peruntukan masa pembelajaran Matematik. Ianya kekal dengan minimum 96 jam setahun. Namun, mari kita sama-sama berfikir di luar kotak, bahagimana kita nak habiskan silibus yang banyak dalam masa yang singkat?

Kita tidak boleh nak menyalahkan penggubal kurikulum (BPK) sepenuhnya kerana mereka pun telah buat sehabis baik mengkaji, memperhalus dan menggubal kurikulum seperti yang diminta oleh kementerian. Mereka juga ada sasaran yang perlu mereka capai dalam bidang tugas mereka. Kalaupun kita selaku guru mahupun ibu bapa terus membangkang, kurikulum telahpun digubal, perbelanjaan pun telahpun dikeluarkan. Sebaik-baiknya, kita selaku guru dan ahli matematik perlu optimis dengan perubahan yang dibuat. Jom kita sahur cabaran ini selaku agen perubahan negara kerana untuk bergerak ke arah negara maju, kita kena sentiasa bersedia untuk melakukan transformasi. Tetapi bagaimana kita nak mengatasi permasalah yang bakal berlaku ini?

Di sinilah kita boleh cuba aplikasikan pendekatan modular dalam merancang Rancangan Pengajaran Tahunan kita. Semasa Bengkel Penataran KSSR Semakan saban tahun, BPK menekankan pendekatan modular dalam kurikulum Matematik. Penekanan ini bukan omongan kosong, tetapi adalah suatu alternatif yang BPK dapat cadangkan untuk membantu guru-guru menghabiskan sukatan.

Untuk kita gunakan pendekatan modular ini, guru-guru boleh menggabung jalinkan beberapa kemahiran berkaitan merentasi tajuk supaya dapat menjimatkan masa PdP kita. Contoh penggabung jalinan yang dapat saya cadangkan:

  • Operasi perpuluhan (+, -, ×, ÷ dan operasi bergabung) boleh digabungjalinkan dengan operasi wang. 
  • Pengenalan kepada ukuran panjang, jisim dan isipadu cecair boleh digabungjalinkan.
  • Operasi kepada ukuran panjang, jisim dan isipadu cecair juga boleh digabungjalinkan. 

Penggunakan pendekatan modular ini sangat relevan kerana:

  1. Dapat membantu menjimatkan masa (throw a stone to kill two birds).
  2. Dapat membantu murid memahami perkaitan antara kemahiran-kemahiran matematik.
  3. Dapat menyediakan murid untuk menghadapi tren soalan peperiksaan UPSR yang menggabung jalinkan dua atau lebih kemahiran matematik berkaitan dalam sesuatu soalan.
  4. Dapat menyediakan murid dengan soalan berfikir aras tinggi yang memerlukan kemahiran penyelesaian masalah yang mengaplikasikan lebih daripada satu kemahiran matematik. 

Justeru, marilah kita guru-guru bersikap optimis dan berganding bahu sesama kita untuk membantu anak-anak didik kita semampu mungkin untuk mempelajari kemahiran matematik mengikut acuan zaman mereka. Marilah sama-sama kita elakkan daripada memandah rendah terhadap anak-anak didik kita, misalnya "..murid saya budak kampung, susah nak faham..." atau kita sendiri yang menyerah kalah sebelum bertempur. InsyaAllah, kita berusaha sedaya mungkin untuk membantu anak-anak didik kita. Semoga urusan kita dipermudahkan.

Bacaan tentang pendekatan modular: https://cikgualkindy.blogspot.com/2018/07/pendekatan-modular-dalam-pembelajaran.html

Kenangan bersama En Mazlan Awi (K. Unit Matematik BPK), En. Zakaria Hasan (JPN Kedah), En. Ishak Hassan (JPN Kedah), Barisan Pen. PPD (Matematik) dan rakan-rakan Jurulatih Utama KSSR Semakan Matematik 2019 Negeri Kedah.

Sekian sahaja perkongsian kali ini.

Mohon tinggalkan komen di bawah. Terima kasih.

Post a Comment

3 Comments

  1. tlg la jgn syok sendiri...dlm malaysia ni semua pljr genius ke?biar la pljr2 kita belajar dgn tenang n seronok.jgn ditambah lg kemurungan.kadar ponteng sek akan bertambah disebabkan sukatan yg semakin mencabar ni..klu nk buat perubahan,biarlah tenaga pengajarnye betul2 berkemahiran n mengajar mengikut acuan yg blh diterima oleh pelajar2 masa kini.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih komen puan. Saya faham kebimbangan yang puan luahkan. Istilah syok sendiri ni tak sesuai nak digunakan sbb bkn kita yang tentukan apa tang harus anak2 kita belajar, tapi KPM melalui BPK. Biarlah silibus setinggi mana pun, yang penting adalah pemahaman konsep.

      Sejauh mana puan tahu tenaga pengajar berkemahiran atau tak? Dan jangan lupa selaku ibu bapa kita perlu support anak-anak kita.

      Saya berkongsi pendapat selaku rakyat marhaen yang tak dak kuasa untuk ubah sistem sedia ada. Jd atas kapasiti itu, kita usaha yang mana boleh utk bantu generasi kini. Ini cabaran utk mereka dan kita juga.


      Berpijaklah pada bumi yang nyata. Jangan jadi spt bangau oh bangau yang selalu nk cari salah orang lain, tapi hanya mampu mencanang silap orang, tapi lupa silap sendiri.

      Sekadar renungan untuk refleksi diri sahaja. Yang baik dijadikan tauladan, yang buruk jadikan sempadan. ✌️

      Delete
    2. kemah keming cikgu Ridzuan

      Delete