Kecemerlangan Milik Orang-orang Mukmin

Sekadar perkongsian ringkas daripada saya yang kesuntukan masa. Buktinya, webog ini telah sekian lama tidak dikemaskini. Tidak terniat di hati untuk membiarkan weblog ini tanpa entri terkini, namun kesibukan saya sebagai daie sepenuh masa disamping guru pelatih di IPG memang tidak dapat lagi dinafi dan dikecuali. Inilah tanggungjawab, dan saya merasakan tanggungjawab ini amat penting untuk kita sama-sama laksanakan baik tanggungjawab kepada sendiri. Seperti petikan hadis nabi s.a.w.:

كُلُّكُمْ رَاعٍ وَكُلُّكُمْ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ
"Setiap daripada kamu adalah pemimpin dan bertanggungjawab terhadap kepimpinannya."

Walaupun kita bukannya pemimpin masyarakat, namun kita sebenarnya adalah pemimpin bagi diri kita. Kita wajib memimpin diri menuju kecemerlangan kerana sesungguhnya kecemerlangan ini ada kaitan yang rapat dengan kehidupan seorang mukmin yakni orang beriman. Kita seharusnya sedar bahawa kita dilahirkan sebagai 'Khairal Ummah' iaitu sebaik-baik umat. Justeru, seharusnya kita mendepani dan mendahului dalam segala pencapaian dalam perkara fardu ain mahupun fardu kifayah. Firman Allah:


وَلْتَكُنْ مِنْكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ
وَأُولَئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ
"Kamu (Wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman)."
(Surah Ali Imran, 3 : 104)

Di dalam al-Quran yang diwahyukan kepada baginda nabi Muhammad s.a.w. sebenarnya telah tertulis dengan jelas ciri-ciri orang-orang yang berjaya. Pra syarat utama kejayaan yang dinyatakan oleh Allah ialah beriman kepada Allah. Firman-Nya lagi:

قَدْ أَفْلَحَ الْمُؤْمِنُونَ
"Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman."
(Surah al-Mu'minun, 23 : 1)


Ciri-ciri Orang Beriman Yang Dijanjikan Kejayaan

1. Orang yang sempurna dan khusyuk solatnya.

الَّذِينَ هُمْ فِي صَلاتِهِمْ خَاشِعُونَ
"Iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya"
(Surah al-Mu'minun, 23 : 2)

Solat yang khusyuk dan sempurna penting bagi memastikan hubungan kita dengan Allah adalah dalam keadaan yang baik. Apa yang kita perlu selalu harapkan ialah mardhatillah iaitu keredhaan Allah.

2. Orang yang menjaga diri dari perkataan dan perbuatan sia-sia

وَالَّذِينَ هُمْ عَنِ اللَّغْوِ مُعْرِضُونَ
"Dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia"
(Surah al-Mu'minun, 23 : 3)

Orang yang beriman sentiasa menjaga lidahnya dan tingkah lakunya kerana risaukan kemurkaan daripada Allah. Ini adalah berkaitan dengan akhlak - sesuatu yang tidak boleh dibuat-buat tetapi lahir dari hati nurani kita. Jika hati ini bersih maka mulialah akhlaknya namun begitu juga sebaliknya.

3. Orang yang membersihkan hartanya

وَالَّذِينَ هُمْ لِلزَّكَاةِ فَاعِلُونَ
"Dan mereka yang berusaha membersihkan hartanya (dengan menunaikan zakat harta itu)"
(Surah al-Mu'minun, 23 : 4)

Amalan zakat sebenarnya melatih kita menjadi seorang yang memiliki sifat ar-Rahman yakni pemurah. Konsep berzakat ialah memberikan sesuatu yang ianya adalah hak milik kita, bukan lebihan harta benda kita. Jika konsep zakat dilabel sebagai pemberian lebihan harta benda kita, nescaya manusia ini tidak akan terlatih dengan sifat pemurah ini.

Digambar kepada kita dalam lembaran sirah bahawa Saiyyidina Abu Bakar As-Siddiq banyak menginfakkan harta ke jalannya. Ini memberi bayangan kepada kita bahawa orang mukmin sehebat Saiyyidina Abu Bakar As-Siddiq ini mampu menginfakkan bukan sebahagian tetapi keseluruhan hartanya ke jalan Allah. Betapa hebatnya iman para sahabat nabi yang sepatutnya kita contohi.

4. Orang yang menjaga kehormatan dirinya

وَالَّذِينَ هُمْ لِفُرُوجِهِمْ حَافِظُونَ (٥) إِلا عَلَى أَزْوَاجِهِمْ أوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُمْ فَإِنَّهُمْ غَيْرُ مَلُومِينَ (٦) فَمَنِ ابْتَغَى وَرَاءَ ذَلِكَ فَأُولَئِكَ هُمُ الْعَادُونَ (٧
"Dan mereka Yang menjaga kehormatannya; Kecuali kepada isterinya atau hamba sahayanya maka Sesungguhnya mereka tidak tercela: Kemudian, sesiapa Yang mengingini selain dari Yang demikian, maka merekalah orang-orang Yang melampaui batas;"
(Surah al-Mu'minun, 23 : 5-7)

Seorang mukmin perlulah menjaga maruah dan kehormatan diri. Oleh itu, Islam menganjurkan pernikahan dalam usaha menyelamatkan iman kita daripada keinginan yang tinggi untuk menurut hawa nafsu syahwat. Ini sebenarnya adalah fitrah kita selaku manusia. Begitu cantik sekali percaturan Allah dalam menyusun atur kehidupan manusia sebagai makhluk khalifah.

Penyusunan alam yang teliti oleh-Nya memberi ruang kepada kita untuk menjadikan diri kita selayaknya sebagai khalifah yakni terpelihara maruah dan kehormatan. Maruah dan kehormatan diri yang terpelihara akan menjadikan musuh-musuh Allah gentar menghadapi kita selaku orang mukmin. Dalam masa yang sama, Allah memberi peringatan kepada kita agar tidak melampaui batas yang telah ditetapkan.

5. Orang yang menjaga amanah dan janjinya

وَالَّذِينَ هُمْ لأمَانَاتِهِمْ وَعَهْدِهِمْ رَاعُونَ
"Dan mereka yang menjaga amanah dan janjinya"
(Surah al-Mu'minun, 23 : 8)

Sememangnya orang mukmin menjaga amanah dan janjinya. Kerana di dalam jiwanya ada rasa takut akan melanggar amanah yang diberikan kepadanya. Di dalam konteks pendidikan, saya telah diamanahkan untuk mendidik anak bangsa agar menjadi seorang yang berguna. Ini merupakan amanah yang berat untuk saya laksanakan. Namun, ada suatu tugas yang lebih mulia iaitu mendidik manusia mengenal Allah, yang mana tugas ini tidak dapat tidak untuk kita sama-sama menjalankannya.

Suatu hakikat yang kita tidak dapat lari ialah sebenarnya kita telah berjanji kepada Allah bahawa segala tentang hidup kita hanyalah untuk Allah. Firman-Nya di dalam Surah al-An'am, 162:

قُلْ إِنَّ صَلاتِي وَنُسُكِي وَمَحْيَايَ وَمَمَاتِي لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِين
Katakanlah: "Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam."

6. Orang yang menjaga solatnya

وَالَّذِينَ هُمْ عَلَى صَلَوَاتِهِمْ يُحَافِظُونَ
"Dan mereka yang tetap memelihara sembahyangnya"
(Surah al-Mu'minun, 23 : 9)

Orang beriman sememangnya menjaga solatnya lantaran hatinya dekap pada Allah. Tidak lewat walau sedikitpun untuk bersolat, dan dilakukan secara berjemaah lima waktu sehari semalam.

قُلْ أَمَرَ رَبِّي بِالْقِسْطِ وَأَقِيمُوا وُجُوهَكُمْ عِنْدَ كُلِّ مَسْجِدٍ وَادْعُوهُ مُخْلِصِينَ لَهُ الدِّينَ كَمَا بَدَأَكُمْ تَعُودُونَ
Katakanlah: "Tuhanku menyuruh berlaku adil (pada segala perkara), dan (menyuruh supaya kamu) hadapkan muka (dan hati) kamu (kepada Allah) dengan betul pada tiap-tiap kali mengerjakan sembahyang, dan beribadatlah dengan mengikhlaskan amal agama kamu kepada-Nya semata-mata; (kerana) sebagaimana ia telah menjadikan kamu pada mulanya, (demikian pula) kamu akan kembali (kepada-Nya).
(Surah al-A'raf, 7 : 29)


Pra Syarat Yang Dipenuhi

Maka layaklah bagi mereka yang beriman (orang mukmin) untuk mendapat kejayaan kerana kejayaan itu milik Allah, hanya Allah jualah yang berhak mengurniakan kejayaan kepada hambanya yang dikehendaki-Nya. Bukan sahaja orang mukmin ini mendapat ijazah kejayaan, namun ijazah taqwa itulah yang lebih utama.

Inilah rezeki kejayaan daripada Allah yang dikurniakan-Nya tanpa diduga. Berusahalah wahai sahabat, menjadi orang mukmin yang Allah isytiharkan orang yang berjaya! Alhamdulillah...

Post a Comment

0 Comments