Cabaran Semasa Berpraktikum

Kesibukan yang melanda diri sejak saya keluar berpraktikum telah membataskan waktu yang saya ada. Pembaca sekalian boleh tengok sendiri telah berapa lama weblog Jil Muallim ini tidak dikemaskini. Maklumlah tahun ini adalah tahun akhir buat saya. Saya ingin habiskan praktikum kali ketiga dan terakhir ini dengan suatu yang manis. Memandangkan Praktikum III ini menyumbang kepada 6 kredit dalam Purata Mata Gred (PMG) semester 7, saya akan sedaya upaya melakukan yang terbaik.

Praktikum kali ini memberi pengalaman yang berbeza buat diri saya. Kalau dalam paktikum yang sebelum ini, saya telah ditempatkan di sekolah yang agak jauh (menghala ke Bandaraya Kuala Terengganu). Namun, kali ini saya telah ditempatkan di sekolah yang berdekatan dengan rumah sewa. Rata-rata anak-anak jiran di sekeliling rumah sewa saya adalah anak murid di Sekolah Kebangsaan Tanjung Gelam. Tentunya ianya menjanjikan suasana yang sangat berlainan dengan sekolah-sekolah di kawasan bandar.

Berbekalkan pengalaman yang sedia ada, saya melangkah dengan penuh semangat untuk memulakan lembaran praktikum III. Saya sendiri juga telah membuat sedikit soal selidik dengan rakan-rakan lain yang pernah berpraktikum di sekolah ini. Menurut mereka lebih kurang sahaja dengan sekolah-sekolah lain. Terus saya membuat jangkaan bahawa sekolah ini sama suasananya dengan sekolah-sekolah lain.

Jadual Waktu Persendirian saya di SK Tanjung Gelam, Kuala Terengganu, Terengganu.

Namun, persepsi saya berubah seawal minggu pertama menjejakkan kaki di sekolah ini. Persekitaran murid-murid yang dibesarkan di kawasan persisir pantai telah membuatkan mereka terbiasa bercakap kuat. Saya sendiri telah mengalami sakit tekak dan batuk seawal minggu ketiga praktikum. Mana tidaknya, saya yang tidak biasa meninggikan suara dalam kekerapan yang tinggi terpaksa meninggikan suara bagi mengawal kelas. Saya juga kerap mendapat demam akibat tekanan yang saya hadapi. Sepanjang tempoh berpraktikum yang baru berlalu lima minggu, saya telah tiga kali demam, dan sekarang saya baru baik dari batuk dan selsema.

Saya juga telah diberitahu bahawa murid-murid saya lemah Matematik. Saya rasa terpanggil untuk memperbaiki kelemahan mereka. Setiap kali saya masuk ke kelas, saya merenung mata mereka yang dahagakan ilmu pengetahuan. Walau pernah saya denda mereka duduk beramai-ramai di koridor luar bilik darjah kerana tidak siapkan kerja sekolah, namun saya lakukan bukan kerana marah tetapi kerana sayangnya saya terhadap mereka.



Bahan Bantu Mengajar (BBM) serta Portfolio dan Buku Rekod Praktikum yang saya perlu sediakan setiap malam.

Kerana saya sedar akan hakikat mereka sangat dahagakan ilmu, hampir setiap malam saya tidur lewat. Pernah juga tidak tidur lansung kerana menyiapkan bahan-bahan bantu mengajar (BBM). Saya cuba ikhlaskan niat saya membuat BBM bukan kerana dinilai, tetapi cuba memaksimumkan cara murid-murid saya mendapat ilmu pengetahuan yang bukan hanya semata-mata tulisan di papan tulis sahaja. Saya mahukan yang terbaik buat anak-anak didik saya, kerana saya sayangkan mereka macam anak saya sendiri.

رَبَّÙ†َا آتِÙ†َا Ù…ِÙ†ْ Ù„َدُÙ†ْÙƒَ رَØ­ْÙ…َØ©ً ÙˆَÙ‡َÙŠِّئْ Ù„َÙ†َا Ù…ِÙ†ْ Ø£َÙ…ْرِÙ†َا رَØ´َدًا
"Wahai Tuhan kami! kurniakanlah kami rahmat dari sisi-Mu, dan berilah kemudahan-kemudahan serta pimpinlah kami untuk keselamatan agama kami (Islam)".
(Surah al-Kahfi, 18 : 10)

Post a Comment

0 Comments