Gerhana Bulan Disember 2011

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Setelah sekian lama tak update blog, kini ada juga masa untuk penulis menaipkan sesuatu. Pada kali ini, penulis ingin bercerita perihal gerhana bulan yang bakal berlaku pada Sabtu, 10 Disember 2011. Sebelum itu, mari kita kenali dulu apakah gerhana bulan?


Apa itu Gerhana Bulan?

Gerhana merupakan suatu fenomena di mana bulan atau bumi dilindungi oleh bayang-bayang salah satu daripada objek di angkasa lepas. Dalam kes gerhana bulan ini, fenomena ini berlaku apabila bulan ditutupi oleh bayang-bayang bumi. Seperti yang kita ketahui (pelajaran Sains di sekolah rendah), bulan tidak mengeluarkan cahayanya sendiri. Sebaliknya, ia hanya memantulkan cahaya matahari yang diterimanya. Apabila bulan bergerak di belakang bayang-bayang bumi, bulan akan terlindung dari menerima cahaya dari matahari. Fenomena inilah yang dinamakan gerhana bulan.



Beza antara gerhana matahari dan gerhana bulan adalah pada kedudukan matahari, bumi dan bulan



Fakta Saintifik Tentang Bulan
  • Bulan dianggap sebagai suatu satelit kepada bumi kerana ia beredar mengelilingi bumi mengikut orbit (manzilah) yang telah ditetapkan oleh Allah. Terdapat fasa-fasa tertentu bagi bulan yang kelihatan dari bumi dan fasa-fasa itu berulang-ulang.
"Dan bulan pula Kami takdirkan dia beredar melalui beberapa peringkat, sehingga di akhir peredarannya kelihatan kembalinya pula ke peringkat awalnya - (berbentuk melengkung) seperti tandan yang kering (bulan sabit)" (Surah Yaa Siin, 36 : 39)

  • Saintis berpendapat bahawa bulan bukanlah serpihan daripada bumi yang telah pecah dan terpisah daripada bumi. Teori ini menyatakan bahawa bulan ialah suatu jasad yang telah diwujudkan berasingan. Secara rasmi, bulan dikelaskan sebagai suatu satelit (iaitu sebagai ahli keluarga) kepada bumi, tetapi ia amat besar dan lebar, iaitu dengan diameter 3,476 kilorneter dan bersaiz 0.012 daripada saiz bumi. Ada yang menganggapkan bulan sebagai planet yang mengiringi bumi. Jarak bumi ke bulan ialah 384,400 kilometer. Kelajuan keluar daripada bulan ialah rendah, iaitu 2.4 kilometer sesaat. Oleh itu, bulan tidak mampu menyimpan sebarang atmosfera (udara).

  • Analisis ke atas bahan-bahan sampel yang dibawa balik dari bulan oleh peralatan automatik Apollo dan Rusia mengesahkan bahawa tiada benda hidup terdapat di permukaan bulan. Bulan tidak mengeluarkan cahaya sendiri sama seperti matahari, iaitu sejenis bintang. la menerima cahaya yang dipantulkan oleh matahari. AI-Quran ada menyatakan perihal cahaya bulan yang berupa cahaya pantulan.
"Dialah yang menjadikan matahari bersinar (nuuran) dan bulan bercahaya (dhiyaa-an) dan menetapkan orbit (manzilah)" (Surah Yunus, 10 : 5)

  • Bulan mengambil masa selama 27.3 hari untuk melengkapi satu revolusi atau pusingan peredarannya di dalam orbit (manzilah) yang telah ditetapkan oleh Ilahi.

  • Kita hanya melihat permukaan yang sama sahaja sentiasa. Mengapakah kita dari bumi tidak pernah nampak bahagian belakang bulan; setiap masa kita hanya berkesempatan melihat sebelah permukaan yang sama sejak bulan mulai beredar di sekeliling bumi kita? Sebabnya ialah bulan berputar pada paksinya sekali sahaja dalam masa 27.3 hari ini, (satu rotasi sebulan) menyebabkan bahagian belakangnya tidak pernah berhadapan dengan muka bumi! Tetapi kepada matahari, permukaan bulan adalah sentiasa berubah-ubah. Dari bulan, manusia nampak seolah-olah bumi tidak bergerak, dan dari belakang bulan, kita langsung tidak nampak bumi.

  • Orbit bulan bukannya berbentuk bulat, kerana ia bergerak lebih laju apabila ia berada pada posisi yang terlalu dekat dengan bumi. Pada masa ini bulan bergoyang sedikit, serta membolehkan kita melihat lebih kurang 59% daripada permukaannya.Tetapi 41 % bahagian yang bakinya tidak pernah dilihat sehingga penerbangan Lunik 3 dalam tahun 1959.

Selaras dengan sunnatullah iaitu hukum alam yang ditetapkan oleh Allah s.w.t. kita boleh meneka dengan penuh kepastian bila, di mana dan berapa lama akan berlakunya gerhana bulan.



Fenomena Gerhana Bulan 10 Disember 2011

Fenomena gerhana bulan pada kali ini akan berlaku pada waktu puncak, iaitu sebaik sahaja matahari terbenam dan berlarutan sehingga ke lewat tengah malam. Tidak seperti gerhana yang lepas, yang mana ianya berlaku lewat tengah malam sehingga ke matahari terbit keesokan paginya. Oleh itu, gerhana kali ini dijangka dapat disaksikan dengan mudah oleh orang ramai. 

Fasa gerhana ini akan bermula pada jam 7.31 petang. Namun apabila bulan mula menghampiri kawasan bayang-bayang bumi yang lebih gelap, dikenali sebagai umbra, barulah kesan gelapnya mudah kelihatan, iaitu sekitar jam 8.45 malam.

Bulan akan berada di dalam bayang-bayang bumi sepenuhnya (fasa gerhana penuh) pada jam 10.05 malam sehingga 10.57 malam. Kemudian ia akan keluar sepenuhnya daripada bayang-bayang umbra pada jam 12.18 tengah malam.Waktu setiap fasa gerhana boleh dirujuk seperti di bawah (kiraan Skymap Pro 8)

Moon enters penumbra: 2011 Dec 10 19:31:37
Moon enters umbra: 2011 Dec 10 20:45:11
Start of totality: 2011 Dec 10 22:05:29
Maximum eclipse: 2011 Dec 10 22:31:36
End of totality: 2011 Dec 10 22:57:45
Moon leaves umbra: 2011 Dec 11 00:18:04
Moon leaves penumbra: 2011 Dec 11 01:31:30

Jumlah masa Bulan bergelap di dalam bayang-bayang bumi sepenuhnya ialah selama 52 min 16 saat.

Waktu di atas merupakan waktu tempatan (Malaysia) termasuklah iaitu Semenanjung, Sabah mahupun Sarawak. Cuma yang berbeza ialah ketinggian Bulan di langit. Semakin anda berada ke arah timur Malaysia, semakin tinggi kedudukan Bulan pada satu-satu fasa gerhana itu.

Video di bawah merupakan simulasi gerhana bulan yang dibuat menggunakan perisian Stellarium. Bagi yang berminat untuk mencuba sendiri perisian Stellarium, boleh muat turun dari sini: http://www.stellarium.org/


Jika anda terlepas gerhana kali ini, anda terpaksa menunggu sehingga 10 Okt 2014 untuk Gerhana Penuh Bulan yang boleh dilihat dari Malaysia. Itupun anda hanya dapat lihat separuh sahaja, iaitu Bulan sudahpun TAMAT fasa gerhana sepenuhnya ketika ia terbit di waktu Maghrib (di Kuala Lumpur). Gerhana Penuh seterusnya ialah 4 Apr 2015 dan itupun anda dapat lihat separuh sahaja, iaitu Bulan sedang memasuki fasa gerhana penuh ketika ia terbit.

Oleh itu jangan lepaskan peluang menyaksikan KESELURUHAN fasa Gerhana Bulan Penuh pada 10 Disember 2011.

p/s: Jangan lupa kerjakan solat sunat gerhana sempena dengan fenomena ini.

Post a Comment

0 Comments