Salam Perpisahan SK Parish, Balingian Sarawak

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Rutin harian cikgu dan isteri berulang sejauh 65 km sehala selama 5 hari ke sekolah diteruskan kerana permohonan pertukaran kami tidak diluluskan. Keputusan yang telah diumumkan kami sambut dengan baik, tidak sedikitpun melemahkan semangat kami untuk mendidik anak-anak Mukah, Sarawak. Khidmat kami masih diperlukan di sini.


Sabtu Yang Menggemparkan

Pada suatu petang Sabtu yang begitu menggemparkan, cikgu dapat panggilan dari mak mertua (panggil Umi) yang memberitahu ada seseorang dari Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM, nama dirahsiakan) membuat panggilan kepada Umi bertanyakan tentang perpindahan cikgu dan isteri ke semenanjung. Cikgu terkejut dan bertanya lanjut kepada Umi perbualan mereka. Pegawai tersebut memaklumkan yang KPM mempertimbangkan rayuan pertukaran kami. Namun, negeri yang dipohon (Terengganu) telah penuh koata. Jadi pegawai berkenaan bertanyakan sama ada kami sudi untuk ditempatkan di negeri lain di semenanjung. Pegawai berkenaan mencadangkan negeri Kedah yang masih lagi mempunyai kekosongan bagi opsyen kami.

Umi terus menyatakan persetujuan dan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada pegawai berkenaan. Petang yang tenang dalam suasana bercuti hujung minggu ini digemparkan dengan berita yang memberi sinar harapan kepada kami. Namun, rutin kehidupan kami jalani seperti biasa kerana belum mendapat apa-apa pengesahan rasmi sama ada berjaya ataupun tidak. Namun, perasaan cikgu membuat-buak serta rasa serba tidak kena kerana mendapat suatu harapan yang masih belum pasti.


Harapan Bertukar Kenyataan


Pada Isnin minggu berikutnya, cikgu mendapat berita dari rakan-rakan di Facebook yang memberitahu Keputusan Rayuan Pertukaran telahpun keluar. Setelah melihat keputusan, lantas cikgu berbisik di dalam hati, "Alhamdulillah, Segala Puji Bagi Allah, Allah Maha Mendengar doa kami yang tak putus-putus. Syukur pada-Mu Ya Allah." Rayuan Pertukaran kami yang dahulunya harapan, kini menjadi kenyataan. 

Urusan Yang Memenatkan

Selepas mendapat keputusan, cikgu dan isteri pun bermula dengan urusan kemas barang-barang. Maklumlah dah tiga tahun bertapak di Mukah, maka sememangnya banyak barang yang perlu kami kemas. Ada sebahagian yang perlu kami jual, hadiahkan dan sebahagian kecil untuk dipos dan dibawa pulang. 

Selama dua minggu, rutin petang dan malam kami adalah mengemas barang masuk ke kotak. Mana yang boleh dibuang, kami buang. Mujurlah Lori Majlis Daerah datang mengutip sampah di hadapan rumah. Cikgu juga mengepos barang-barang yang ringan melalui Pos Malaysia. Urusan kargo pun cikgu uruskan bersama syarikat kargo yang cikgu dapat hubungi hasil dari cadangan rakan-rakan cikgu. Maklumlah, perpindahan kes rayuan tidak disediakan dengan perkhidmatan kargo. 

Panorama keadaan rumah semasa mula mengemas

Suasana Sedih Menyelubungi

Setelah mendapat keputusan rayuan pertukaran , cikgu maklumkan kepada Guru Besar merangkap keluarga angkat kami di Mukah. Cikgu rasa sangat serba salah untuk memaklumkan kepada beliau tentang berita ini. Namun, cikgu kuatkan semangat juga untuk memberitahu. Dan dapat cikgu lihat riak wajah yang berubah serta merta setelah mendengar berita yang cikgu sampaikan. Begitu juga rakan-rakan guru yang lain yang sangat rapat dengan cikgu. Selama tiga tahun cikgu di sini, mereka menerima cikgu sebaiknya, serta tidak pernah putus-putus menghulurkan tangan memberi pertolongan tatkala cikgu memerlukannya. 

Secara jujurnya cikgu berasa sedih dan pilu dengan perpisahan yang berlaku. Pada hari terakhir cikgu di SK Parish, cikgu beserta seorang lagi rakan guru diraikan dalam suatu majlis perpisahan. Cikgu cuba mengawal perasaan dari awal majlis, namun, air mata yang cikgu bendung sudah tidak dapat lagi tertahan. Rasa sebak dan sedih menyelubungi semasa cikgu memberikan ucapan terakhir kepada mereka. Hanya Allah sahaja yang tahu perasaan ini. Cikgu juga rasa sangat terharu dengan hadiah yang diberikan oleh anak-anak didik. Ramai juga ibu bapa yang turut memenuhi dewan serta menyampaikan cenderahati kepada cikgu. Rasa terharu ini membuatkan air mata cikgu tidak putus-putus mengalir. 

Pada sebelah malamnya, cikgu menyiapkan persiapan terakhir sebelum pulang ke semenanjung. Pada malam terakhir tersebut, cikgu bermalam di rumah Hj. Perti, Guru Besar dan juga keluarga angkat cikgu. Cikgu dan isteri sangat terhutang budi dengan keluarga ini. Mereka melayan kami seperti keluarga, sedia membantu kami pada bila-bila masa.

Inilah keluarga Hj Perti dan Hjh Jaarah yang menganggap kami sebagai ahli keluaarga mereka. Semoga Allah membalas kebaikan kalian sekeluarga.

Keesokan harinya, Hj Perti sekeluarga menghantar kami ke Lapangan Terbang Sibu. Sekali lagi perasaan cikgu diselubungi sedih dah pilu. Setelah bersalaman dan berpelukan dengan Hj. Perti sekeluarga, kami terus masuk ke Balai Pelepasan untuk urusan pemeriksaan imegresen dan pelepasan. 

Benarlah kata orang, kita akan lebih menghargai sesuatu selepas kita rasa kehilangannya. Begitulah juga cikgu, secara jujurnya cikgu rasa rindu dengan suasana serta warga SK Parish yang selama tiga tahun sangat dekat dengan jiwa cikgu. Kini, cikgu sudah kembali di semenanjung untuk menyambung bakti di negeri Kedah Jelapang Padi.

Warga SK Parish yang sangat awesome! 

Akhir kata, cikgu doakan semoga Hj. Perti sekeluarga, warga SK Parish serta penduduk Balingian / Mukah yang membantu kami sekeluarga sentiasa diberkati serta dikurniakan rezeki yang melimpah ruah atas kebaikan anda semua kepada kami. 

Salam perpisahan daripada kami, semoga kita berjumpa lagi.

Post a Comment

0 Comments