Teknologi Dalam Pembelajaran

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Kini kita berada di tahun 2018 yang serba moden dan canggih. Sedar ataupun tidak, kanak-kanak sekarang bukanlah seperti kanak-kanak 10 atau 20 tahun yang lalu. Seiring dengan perubahan masa, kanak-kanak kini berdepan dengan cabaran dalam segenap ruang kehidupan mereka. Secara khususnya, kanak-kanak di di sekolah rendah misalnya perlu mempelajari kurikulum yang lebih susah berbanding kanak-kanak dahulu. Hal ini berlaku kerana kurikulum di sekolah sentiasa berkembang dari semasa ke semasa.

Sebagai contoh dalam Matematik, semasa pelaksanaan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) Semakan bermula tahun 2017, murid tahun 1 sudahpun diperkenalkan dengan konsep gundalan dalam tajuk Pengurusan Data berbanding semasa pelaksanaan KSSR (tahun 2011) yang hanya diperkenalkan semasa tahun 3. Ini menunjukkan bahawa kurikulum sentiasa berkembang tanpa menunggu sesiapapun.

Teknologi Dalam Pembelajaran

Seiring dengan perubahan yang pesat juga, kanak-kanak kini lebih terdedah dengan penggunaan teknologi. Bermula dengan pendidikan awal di rumah, kanak-kanak sudahpun terdedah dengan televisyen, radio dan pelbagai gajet yang canggih. Rentetan daripada itu, murid-murid di sekolah juga lebih berminat dengan pembelajaran yang berasaskan teknologi. Jika setiap murid diberi pilihan, sama ada mahu belajar menggunakan buku teks atau buku teks digital di dalam aplikasi Frog VLE, saya rasa majoriti mereka memilih untuk menggunakan pilihan kedua.

Murid-murid sangat khusyuk membuat penerokaan menggunakan enjin carian Google

Justeru, selaku guru masa kini, saya sering kali membawa murid masuk ke makmal komputer untuk memberi ruang kepada mereka untuk membuat penerokaan tentang pelajaran mereka secara terbimbing. Ya, guru masih perlu membimbing murid untuk memastikan penggunaan teknologi yang tanpa sempadan diawasi dengan sebaiknya. Takut-takut murid tersasar ke tempat yang tidak sepatutnya, Nauzubillahi min zalik.


Platform Frog VLE Yang Sangat Menarik

Sebenarnya terdapat banyak aplikasi atau platform yang boleh guru gunakan untuk menarik minat murid untuk belajar. Namun, penggunaan platform Frog VLE yang dibekalkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia di bawah projek 1BestariNet adalah sangat memadai. Setiap guru, murid dan ibu bapa dibekalkan dengan ID Yes untuk mengakses Frog VLE. 



Di dalam platform Frog VLE, terdapat pelbagai aplikasi yang boleh digunakan.

Antara aplikasi yang terdapat dalam platform Frog VLE
Antara aplikasi yang sangat menarik untuk dicuba adalah:

1. FrogPlay - Ini merupakan aplikasi kegemaran boleh dikatakan semua murid yang pernah saya ajar. Hal ini kerana menerusi aplikasi ini, murid boleh menjawab soalan kuiz mengikut mata pelajaran yang dipilih dan diikuti dengan permainan (games) jika mereka berjaya menjawab soalan. 

2. Sites - Aplikasi ini membolehkan murid membina laman mereka sendiri. Ianya juga boleh diumpamakan sebagai blog peribadi. Penggunaan aplikasi ini adalah sangat mudah di mana murid hanya perlu drag and drop sahaja widget yang dikehendaki. Terdapat juga pelbagai templat yang sangat menarik yang boleh dipilih oleh murid.

3. FrogStore and Bookshelf - Dua aplikasi ini merupakan sebuah perpustakaan digital. Murid boleh membuat carian buku teks dan pelbagai buku rujukan untuk kegunaan sendiri. Terdapat yang percuma mahupun yang berbayar. Carian di buat di FrogStore, dan kemudiannya buku boleh disimpan ke Bookshelf sendiri. 

4. Emel - Dengan menggunakan ID Yes yang dibekalkan, penggunan (guru, murid atau ibu bapa) boleh mengakses emel. Emel ini menggunakan aplikasi Google Mail, namun menggunakan domain yes.my

5. Assignment - Aplikasi ini membolehkan guru menyediakan tugasan secara atas talian kepada murid. Murid dikehendaki menjawab mengikut arahan yang ditetapkan dalam tempoh masa yang telah ditetapkan oleh guru. Para ibu bapa boleh login untuk memantau aktiviti anak-anak mereka.

Begitulah serba ringkas perkongsian cikgu berkenaan platform Frog VLE. Sebenarnya rugi jika kita tidak memanfaatkan kemudahan yang telah disediakan ini. Akhir kata, cikgu berharap agar kita semua dapat menggunakan teknologi secara berhemah dalam menjalankan kehidupan seharian kita. Jangan pula kita terlalu ghairah dengan teknologi, sehinggakan perkara asas dalam kehidupan pun terabai.

Wallahu a'lam.

Post a Comment

0 Comments