Pengalaman Sambung Master: Bermula Semester 1

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Alhamdulillah pengajian master cikgu pun sudah bermula untuk semester yang pertama di Universiti Sains Malaysia. Sememangnya ianya merupakan suatu pengalaman yang baharu buat cikgu. Maklumlah, cikgu adalah graduan Sarjana Muda lepasan Institut Pedidikan Guru (IPG). Jadi, sememangnya terdapat perbezaan dari pelbagai aspek antara IPG dan USM.

Cikgu berasa sangat teruja memulakan pengajian semester pertama. Di USM, terdapat banyak program pengajian di sini bagi memenuhi keperluan pengajian dalam pelbagai bidang. Cikgu telah memulakan pengajian di bawah program Sarjana Sastera (Pendidikan) di bawah Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan (PPIP), USM. Pengkhususan yang menjadi pilihan semestinya Pendidikan Matematik!

Cikgu berkesempatan menghadiri Welcoming Ceremony untuk Pelajar Pascasiswazah USM

Kuliah dan Tutorial

Untuk semester 1 ini, cikgu telah mendaftar dua subjek, iaitu 1. Kaedah Penyelidikan Pendidikan dan 2. Teori Pengajaran dan Pembelajaran Matematik. Kedua-dua subjek adalah subjek yang menjadi kesukaan cikgu. Jadual kuliah dan tutorial bagi pengajian Sarjana Sastera (Pendidikan) adalah bermula pukul 5.00 petang hingga 10.00 malam, dari Isnin hingga Jumaat. Namun, ianya bergantung kepada bilangan subjek yang diambil. Justeru, cikgu hanya berulang-alik dari Baling - USM - Baling dua kali seminggu. Cuma adalah tambahan sehari ke USM untuk menemani isteri yang turut sama menyambung pengajian dalam bidang Pendidikan Awal Kanak-kanak.


Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan, USM

Tutorial akan bermula pada pukul 5 petang hingga 7 petang. Tutorial merupakan sebuah sesi di mana pensyarah akan membincangkan soalan tugasan yang diberikan pada minggu sebelumnya. Biasanya soalan tugasan adalah berdasarkan isi kandungan kuliah pada minggu lalu. Kuliah pula bermula 8.00 malam hinga 10.00 malam. Sesi kuliah pula adalah suatu sesi di mana para pensyarah menyampaikan isi kandungan kursus mengikut silibus. Semasa sesi ini, cikgu mendengar dengan penuh fokus agar cikgu dapat memahami apa yang pensyarah sampaikan. 

Memulakan pengajian ini merupakan suatu pengalaman yang sangat berharga buat cikgu. Cikgu dapat kenalan baru yang merupakan guru-guru dari sekolah lain. Dari situ cikgu dapat bertukar-tukar pandangan dan bahan yang berkaitan pengajaran Matematik di sekolah. Selain itu, cikgu dapat banyak input dan ilmu baru. Semakin banyak perkara baru yang cikgu pelajari. Benarlah kata orang, semakin banyak kita belajar, semakin banyak yang kita tidak tahu. 

Sekian, perkongsian cikgu untuk kali ini. InsyaAllah bersambung nanti.


Post a Comment

22 Comments

  1. Assalam’alaik cikgu, dulu cikgu sambung Master sebelum sah jawatan sebagai seorang guru ke cikgu?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Waalaikummus salam. Saya sambung dulu setelah disahkan dalam jawatan. Namun, perlu memohon kepada Unit Latihan, Jabatan Pendidikan Negeri masing-masing untuk melayakkan kita memohon Cuti Kursus Sambilan jika terdapat urusan seperti peperiksaan, program universiti dan seperti tercatat dalam surat kelulusan. Cuti Kursus Sambilan ini adalah merupakan sebahagian daripada Cuti Tanpa Rekod yang diberikan kepada guru yang sambung belajar secara sambilan. Diberi sebanyak 30 hari sepanjang tempoh pengajian. Jadi, kita tak perlu gunakan CRK untuk urusan berkaitan study Master / Kedoktoran tu. Untuk makluman lanjut boleh hubungi Unit Latihan di JPN cikgu.

      Delete
  2. cg saya nak tanya, selepas habis ipg, boleh sambung terus master atau kena tunggu beberapa tahun mengajar di sekolah?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Biasanya lps habis pengajian di IPG cg akan ditempatkan di sekolah bg memenuhi ikatan perjanjian pembiayaan pengajian. Jd lps posting dan sah jawatan, cikgu boleh memohon utk sambung belajar sama ada sepenuh masa (full time) atau separuh masa (part time). Cumanya utk full time perlu memohon melalui program spt Hadiah Latihan Persekutuan (HLP) atau Cuti Belajar Bergaji Penuh (CBBP) yang sememangnya perlu bersaing utk tempat yg terhad. Kalau nak cepat blh sambung secara part time dgn pembiayaan sendiri. Prosesnya lbh mudah, namun perlu bijak susun jadual agar tak mengganggu tugas hakiki mengajar.

      Delete
    2. cikgu, saya nak tanya. cikgu cakap kalau nak sambung master/phd kena tunggu posting dan mengajar dulu. jadi, berapa lama kena tunggu untuk mengajar dulu sebelum boleh memohon untuk sambung master?

      Delete
    3. lagi pertanyaan cikgu, berapa lama tempoh mengaji master? kalau belajar full time, adakah akan dapat tanggungan pembiayaan daripada mana-mana pihak institusi? dan kalau part time, maksudnya akan mengajar separuh, dan belajar separuh ke cikgu?

      Delete
    4. Kalau cg nak memohon kemudahan cuti belajar / cuti belajar separuh gaji / kelulusan pengajian secara part time untuk dapat kemudahan Cuti Kursus Sambilan (30 hari setiap tahun), perlu sah jawatan terlebih dahulu (lebih kurang selepas 1 - 3 tahun).

      Tapi kalau cikgu tak nak gunakan kemudahan tersebut, waktu mula posting atau sebelum posting pun dah boleh mulakan.

      Namun begitu, kena pertimbangkan kalau tiba-tiba ada urusan sambung belajar seperti exam, hadiri kuliah, hadiri viva atau menghadiri konvokesyen yang biasanya akan melibatkan hari bekerja, jika tak mohon kelulusan belajar part time, cikgu terpaksa ambil Cuti Rehat Khas yang hanya 10 hari setahun. Cuti Rehat Khas pula secara puratanya hanya 1 hari sebulan, bergantung kpd budi bicara Pengetua / Guru Besar.

      Delete
    5. Tempoh pengajian master full time yang saya pernah dengar minimum 1 tahun. Manakala part time minimum 2 tahun. Maksimum bergantung kepada pencalonan di universiti yang dipilih. Kalau di USM, boleh maksimum hingga 8 semester. Maklumat ni boleh disemak melalui IPS universiti yang dipilih.

      Full time mode tidak sesuai untuk yang bekerja kerana tiada jaminan kuliah / tutorial / program di universiti adalah di luar waktu bekerja.

      Kuliah / tutorial untuk mode part time pula biasanya dibuat di luar waktu kerja / hujung minggu. Namun, tiada jaminan juga program di universiti adalah di luar waktu bekerja.

      Jadi kalau cg memilih full time, sebaiknya mohon kemudahan cuti belajar kerana pihak universiti biasanya akan anggap student full time tidak terikat dengan waktu kerja. Jadi kuliah / tutorial / program universiti biasanya akan melibatkan waktu bekerja dan luar waktu bekerja juga.

      Manakala kalau memilih part time, perlu sebolehnya susun masa agar tidak menggangu tugas hakiki di sekolah. Cam pengalaman saya sambung di USM, tutorial akan bermula pada pukul 5:00 - 7:00 petang, kemudian disambung dengan kuliah pada 8:00 - 10:00 malam. So sebaiknya, dapatkan maklumat lanjut tentang jadual kuliah / tutorial dari pihak fakulti / school di universiti yang dipilih.

      Delete
  3. aslm cg, mengikut pengalaman cg biarpun ambil master, masih bgelar cg sklh rendah?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Waalaikumussalam. Pada saya tak menjadi masalah. Saya menyambung pengajian utk tambah ilmu pengetahuan. Dan sejujurnya, makin byk belajar makin byk yg tak tahu rupanya. Jd berbekalkn ilmu yg ada, sy dpt aplikasikannya utk melaksanakan tugas mengajar yg lebih berkesan. Mungkin pada masa ini, saya tak dpt menikmati kelulusan sy pd tangga gaji. Namun, ianya mungkin berguna dlm peningkatan kerjaya pada masa akan datang.

      Di luar negara, utk mengajar sekolah rendah, ramai guru mempunyai PhD. Di Malaysia masih blm ramai. Tp alangkah baiknya jika suatu hari nanti guru-guru sekolah rendah mahupun prasekolah pun berkelulusan PhD / EdD.

      Delete
  4. assalamualaikum cikgu. sekiranya sambung belajar dalam mod part time, berapa ya anggaran perbelanjaan keseluruhan untuk setiap sem?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Waalaikumussalam. Berbeza ikut universiti. Blh rujuk portal universiti masing-masing utk yuran terkini.

      Delete
  5. Cg, boleh saya tahu sekiranya saya lepasan ipg kemudian menyambung pelajaran hingga ke master/phd adakah saya boleh memohon untuk menjadi guru sekolah menengah atau lecturer?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Setahu saya untuk guru sekolah menengah, mestilah lulusan dari Ijazah Pendidikan di universiti. Lulusan IPG akan ditempatkan di sekolah rendah. Untuk cikgu memohon ke sekolah menengah adalah agak mustahil kerana di IPG sudah dilatih dengan kemahiran pedagogical-content knowledge (PCK) untuk sekolah rendah, begitu juga dengan Ijazah Pendidikan yang dilatih dgn PCK untuk sekolah menengah. Walaupun sambung belajar, agak sukar untuk ditempatkan di sekolah menengah kerana pengkhususan asal adalah sekolah rendah.

      Namun, untuk memohon sebagai pensyarah mungkin ada peluang. Namun, dengan tempat yang terhad, pemilik ijazah Doktor Falsafah dilihat mempunyai kelebihan dalam mendapatkan tempat sebagai pensyarah kerana golongan ini adalah Dr ready made. Tapi kalau ada master, tak salah untuk cuba memohon jadi pensyarah. Kena rajin buka website institusi berkenaan untuk melihat iklan jawatan kosong.

      Delete
  6. assalamualaikum cikgu, ada ke universiti yang menawarkan sarjana dalam bidang tesl?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Banyak universiti yang menawarkan program sarjana dalam bidang TESL / TESOL, antaranya:

      UTM - https://humanities.utm.my/education/pg/master-of-teaching-english-as-a-second-language-tesl-mppz/

      UKM - https://www.ukm.my/portal/master/master-education/

      USM - https://education.usm.my/index.php/programme/postgraduates/mix-mode/master-of-arts-education-mixed-mode

      UUM - http://www.uum.edu.my/index.php/admissions-uum/postgraduate/applied-linguistics

      UIAM - https://www.iium.edu.my/programme/show/master-of-education-programme

      Dan banyak lagi. Boleh refer dalam website rasmi universiti yang cikgu minat dan buat pembandingan dari segi course structure dan fees.

      Delete
  7. Assalamualaikum cg. Kalau sy degree bidang perniagaan ada masalah ke kalau sy nak ambil master bidang lain spt pendidikan khas?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Boleh cuba. Tapi setahu saya untuk sambung ke bidang tertentu utk master, syarat yang ditetapkan adalah mesti dalam bidang yang berkaitan. Contoh nak sambung master pendidikan, mesti degree pun bidang pendidikan.

      Namun, untuk kepastian Cik boleh merujuk kepada universiti yang dikehendaki.

      Delete
  8. cikgu saya nak tanya graduan tesl ipg ada peluang tak untuk jadi pensyarah dkt negara luar ?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Ada peluang InsyaAllah cikgu. Yang penting cg kena rajin2 tinjau peluang tu dan cuba memohon. Sebaiknya boleh sambung study at least master dan mungkin cg blh sambung di luar negara supaya blh tinjau peluang kat sana. Semoga berjaya cikgu.

      Delete
  9. Assalamaualaikum Cikgu, saya nak minta pendapat. Saya berminat nak jadi cikgu/pengsyarah, tapi saya x ada latar belakang bahagian pendidikan. Cikgu rasa patut ke saya sambung master dlm pendidikan utk memudahkan peluang saya menjadi cikgu/pengsyarah.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Waalaikummus salam Cik. Maaf saya kurang pasti tentang ni. Mungkin boleh rujuk pensyarah di universiti ttg prosedur yang betul.

      Delete