Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Alhamdulillah pengajian master cikgu pun sudah bermula untuk semester yang pertama di Universiti Sains Malaysia. Sememangnya ianya merupakan suatu pengalaman yang baharu buat cikgu. Maklumlah, cikgu adalah graduan Sarjana Muda lepasan Institut Pedidikan Guru (IPG). Jadi, sememangnya terdapat perbezaan dari pelbagai aspek antara IPG dan USM.

Cikgu berasa sangat teruja memulakan pengajian semester pertama. Di USM, terdapat banyak program pengajian di sini bagi memenuhi keperluan pengajian dalam pelbagai bidang. Cikgu telah memulakan pengajian di bawah program Sarjana Sastera (Pendidikan) di bawah Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan (PPIP), USM. Pengkhususan yang menjadi pilihan semestinya Pendidikan Matematik!

Cikgu berkesempatan menghadiri Welcoming Ceremony untuk Pelajar Pascasiswazah USM

Kuliah dan Tutorial

Untuk semester 1 ini, cikgu telah mendaftar dua subjek, iaitu 1. Kaedah Penyelidikan Pendidikan dan 2. Teori Pengajaran dan Pembelajaran Matematik. Kedua-dua subjek adalah subjek yang menjadi kesukaan cikgu. Jadual kuliah dan tutorial bagi pengajian Sarjana Sastera (Pendidikan) adalah bermula pukul 5.00 petang hingga 10.00 malam, dari Isnin hingga Jumaat. Namun, ianya bergantung kepada bilangan subjek yang diambil. Justeru, cikgu hanya berulang-alik dari Baling - USM - Baling dua kali seminggu. Cuma adalah tambahan sehari ke USM untuk menemani isteri yang turut sama menyambung pengajian dalam bidang Pendidikan Awal Kanak-kanak.


Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan, USM

Tutorial akan bermula pada pukul 5 petang hingga 7 petang. Tutorial merupakan sebuah sesi di mana pensyarah akan membincangkan soalan tugasan yang diberikan pada minggu sebelumnya. Biasanya soalan tugasan adalah berdasarkan isi kandungan kuliah pada minggu lalu. Kuliah pula bermula 8.00 malam hinga 10.00 malam. Sesi kuliah pula adalah suatu sesi di mana para pensyarah menyampaikan isi kandungan kursus mengikut silibus. Semasa sesi ini, cikgu mendengar dengan penuh fokus agar cikgu dapat memahami apa yang pensyarah sampaikan. 

Memulakan pengajian ini merupakan suatu pengalaman yang sangat berharga buat cikgu. Cikgu dapat kenalan baru yang merupakan guru-guru dari sekolah lain. Dari situ cikgu dapat bertukar-tukar pandangan dan bahan yang berkaitan pengajaran Matematik di sekolah. Selain itu, cikgu dapat banyak input dan ilmu baru. Semakin banyak perkara baru yang cikgu pelajari. Benarlah kata orang, semakin banyak kita belajar, semakin banyak yang kita tidak tahu. 

Sekian, perkongsian cikgu untuk kali ini. InsyaAllah bersambung nanti.